BATANG KALI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan lagi mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di sini, ditangguhkan lewat malam tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Suffian Abdullah berkata, operasi itu akan bersambung semula pada 8.30 pagi Selasa.
“Operasi SAR malam ini telah ditangguhkan pada 11 malam tadi dan akan disambung semula 8.30 pagi esok (Selasa) bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya kepada Bernama malam tadi.
Operasi SAR diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia setakat ini menyaksikan 61 selamat, 24 nyawa terkorban manakala sembilan lagi masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa yang dilaporkan terbabit dalam kejadian runtuhan awal pagi Jumaat lepas.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Pos Kawasan Tempat Kejadian (PKTK) di sini, setakat 12 tengah malam tadi, mendapati pengamal media dan anggota penyelamat telah beransur pulang secara berperingkat.
Selain itu, keadaan cuaca di PKTK adalah baik dan berangin dengan suhu mencecah 19 darjah Celcius. – BERNAMA