HomeBerita‘Terima kasih Leo dan Reed’ – PDRM

‘Terima kasih Leo dan Reed’ – PDRM

CYBERJAYA: Meskipun kelihatan begitu letih, semangat dua anjing pengesan iaitu Leo dan Reed dalam meneruskan misi pencarian mangsa tragedi tanah runtuh di Hulu Selangor masih jitu.

Sejak hari pertama lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menurunkan sebanyak enam ekor anjing pengesan dari Unit K9, Jabatan Siasatan Jenayah yang mana, dua daripadanya ialah Leo (warna hitam) dan Reed (warna coklat).

Menurut PDRM, kesemua anjing pengesan yang terbabit dalam misi pencarian memberi kerjasama yang tinggi dalam memastikan baki sembilan lagi mangsa yang hilang berjaya ditemui semula.

“Selain kekuatan dan kebijaksanaan manusia menjayakan operasi SAR tersebut, ada makhluk lain yang turut ‘berpadu tenaga’ dalam memastikan mangsa-mangsa tertimbus dapat ditemui di lokasi kejadian yang menyayat hati itu.

“Dari ‘raut wajah’ Leo dan Reed, dapat dilihat kesungguhan dan keletihan yang dialami oleh kedua-dua ekor wira tidak didendang ini, demi memastikan baki sembilan lagi mangsa yang hilang berjaya ditemui semula.

“Tabik hormat buat Leo dan Reed! Terima kasih atas khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada negara,” tulis PDRM menerusi hantaran Facebook rasminya.

Untuk makluman, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian tanah runtuh di Hulu Selangor kini masih dilaksanakan dengan memasuki hari kelima, hari ini.

Author

Pilihan Editor