HomeGlobalBeratus-ratus pegawai polis Britain disyaki lakukan kesalahan seks

Beratus-ratus pegawai polis Britain disyaki lakukan kesalahan seks

LONDON: Polis Metropolitan London (Met) sedang meneliti dakwaan penderaan seksual dan domestik yang melibatkan kira-kira 800 pegawai, dedah Pesuruhjaya Sir Mark Rowley.

Kenyataan itu dikeluarkan sejurus selepas seorang anggota pasukan itu, David Carrick mengaku bersalah atas 49 kesalahan itu, termasuk berpuluh-puluh kes rogol.

Rowley mendedahkan bahawa 1,633 kes dakwaan penderaan seksual dan rumah tangga sejak 10 tahun lalu sedang diteliti. Selain itu, kesemua 45,000 anggota Met akan disemak semula untuk melihat jika ada kesalahan lampau yang terlepas, katanya.

Carrick, yang kesnya telah membawa perhatian terhadap masalah itu, mengakui enam lagi pertuduhan penderaan seksual pada Isnin, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 49. Pegawai itu dipercayai melakukan jenayah terhadap 12 wanita sepanjang dua dekad.

Pesuruhjaya Rowley memohon maaf kepada mangsa atas kegagalan Met untuk menyiasat Carrick sejak sekian lama, sambil menambah bahawa dia “tidak sepatutnya menjadi pegawai polis.”

“Kami telah mengecewakan wanita dan gadis, dan sememangnya kami telah mengecewakan warga London,” katanya.

Beliau menambah, pasukan itu sedar bahawa kes berprofil tinggi itu berkemungkinan telah menghancurkan kepercayaan terhadap pegawai Met dalam kalangan ramai wanita di ibu negara Britain, sesuatu yang turut diperkatakan oleh 10 Downing Street, pada Isnin.

Rowley mengakui pasukan polis tidak “menerapkan rasa kejam yang sama untuk menjaga integriti kita sendiri yang biasa kita gunakan untuk menghadapi penjenayah.”

Soalan dibangkitkan selepas didedahkan bahawa beberapa aduan terhadap Carrick sebenarnya telah difailkan kepada polis dari awal 2000 hingga 2021.

Tuduhan yang sebelum ini dibuat oleh bekas rakan setugas Carrick juga tidak menghalangnya daripada berjaya lulus prosedur pemeriksaan Met pada tahun 2001. Malah dia menghadapi tuntutan oleh bekas rakan setugas lain semasa tempoh percubaannya – tetapi aduan yang semakin meningkat tidak menjejaskan pemeriksaan seterusnya terhadap Carrick.

Setiausaha Dalam Negeri Britain, Suella Braverman menyifatkan pendedahan itu sebagai “menyedarkan” Met dan “seluruh keluarga polis di seluruh negara.”

Author

Pilihan Editor