HomeBeritaBesar harapan peniaga jalanan untuk kerajaan baharu menjelang 2023

Besar harapan peniaga jalanan untuk kerajaan baharu menjelang 2023

SEPANG: Menelusuri ambang tahun baharu 2023, Kerajaan Perpaduan yang masih baharu lagi memegang pentadbiran negara, juga memegang harapan besar rakyatnya.

Beberapa peniaga jalanan yang ditemui MEDIA VARIASI di Kota Warisan sudi berkongsikan harapan mereka terhadap kerajaan baharu ini pada 2023.

Peniaga, Hanif Jamal berharap kerajaan dapat mempermudahkan urusan kebanyakan peniaga kecil untuk mendapatkan lesen dan tapak berniaga.

Hanif Jamal.

“Pertama sekali kita sebagai peniaga ini ada juga bahagian-bahagian yang kita nak usahakan, contohnya seperti mendapatkan tapak berniaga secara, mengikut peraturan yang sebetulnya, kadang-kadang prosedurnya agak sukar.

“Jadi, kalau boleh dengan kerajaan baharu ini kita harap suatu hari nanti prosedurnya lebih menyenangkan peniaga, sebab peniaga pun ada banyak perkara yang perlu difikirkan, tentang modal dan sebagainya

“Kadang-kadang itu banyak masa dihabiskan untuk memohon tapak berniaga sahaja, jadi diharapkan prosedur itu bertambah mudah dan menyenangkan kami,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Hanif juga berharap kerajaan boleh membantu menaikkan peniaga-peniaga baharu yang hendak memulakan perniagaan dengan bantuan dari segi peruntukan.

“Idea ada, peniaga baharu memang ada banyak idea cumanya tidak boleh diteruskan disebabkan tidak ada modal yang mencukupi.

“Yang boleh menampung untuk dua hingga tiga bulan ke hadapan, insya-Allah boleh memudahkan untuk semua orang terus berniaga terutamanya peniaga-peniaga baharu,” katanya lagi.

Peniaga, Mohd Fairuz juga berpendapat kerajaan perlu membantu mempermudahkan urusan tersebut yang digambarkan sukar bagi mereka sebagai peniaga.

Mohd Fairuz.

“Berkenaan dengan harapan kami, peniaga-peniaga, untuk kerajaan baharu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya urusan peniaga jalanan seperti kami ini dipermudahkan untuk memperoleh lesen atau pun tapak berniaga.

“Buat masa ini, apa yang peniaga-peniaga jalanan seperti kami ini lalui adalah permohonan untuk kami mendapatkan lesen agak sukar.

“Jadi diharapkan dengan kepimpinan kerajaan baharu ini dapat memudahkan lah kami untuk memperoleh lesen dan tempat yang sesuai,” ujarnya penuh berharap.

Mohd Fairuz turut menambah mengenai kenaikan kos sara hidup yang dikira bagi para peniaga juga sudah dirasakan agak tinggi.

“Apa yang kami peniaga-peniaga harapkan supaya kerajaan baharu dapat mengawal atau pun mencari satu penyelesaian bukan sahaja setakat kepada peniaga, malah kepada seluruh rakyat Malaysia dari segi harga barangan,” katanya lagi.

Peniaga, Siti Kholijah yang turut berharap agar dipermudahkan urusan peniaga mendapatkan lesen dan tapak berniaga juga berharap agar kerajaan mampu menangani masalah kenaikan harga barangan.

Siti Kholijah berkata, dia memang mengharapkan kerajaan baharu ini dapat membawa kelainan dari segi menyelesaikan masalah yang dihadapi seluruh rakyat Malaysia.

“Macam sekarang ini orang sedang mengalami kenaikan harga barang, dan kenaikan ini memang akan memberi masalah kepada kami sebagai peniaga ini dan rakyat biasa.

“Sekarang ini yang kita nampak untuk kerajaan baharu ini, kerajaan memang prihatin dengan keadaan seperti kenaikan harga barang

“Apa yang ada masalah sebelum ini, mereka sudah cuba perbaiki, macam masalah sebelum ini, telur ayam, jadi sekarang ini mereka nak cuba perbaiki, macam masalah ayam.

“Jadi untuk peniaga itu kita memang mengharapkan sesuatu yang kelainan lah yang rakyat boleh dapat kebaikan daripadanya,” kata Siti Kholijah.

Menurutnya, masalah kenaikan harga barang ini sangat memeritkan rakyat kerana akan memberi kesan terhadap kenaikan harga makanan di samping masalah gaji minimum yang tidak cukup menampungnya.

Sementara itu, peniaga, Mior Azwan yang berpuas hati dengan prestasi terkini kerajaan baharu ini pula tidak berkongsikan harapannya untuk kerajaan dari segi pihaknya sebagai peniaga.

Mior Azwan.

Mior Azwan cuma mahukan kerajaan cakna terhadap beberapa isu rakyat yang dilihat kecil oleh segelintir namun sebenarnya perlu diambil berat.

“Pada kita mungkin kecil, untuk kita rakyat biasa, mungkin mereka tidak berapa nampak lagi, seperti isu gelandangan, isu anak-anak yang keciciran pelajaran, isu-isu terpencil yang banyak berlaku di kawasan pedalaman.

“Isu-isu macam itu lah yang saya rasa, mungkin akan datang ini dari semasa ke semasa yang perlu diatasi,” luahnya.

Author

Pilihan Editor