HomeMV+PendapatBoikot tidak hapus isu Islamofobia yang membarah

Boikot tidak hapus isu Islamofobia yang membarah

JIKA rumah anda tiada elektrik sebab dipotong TNB, jangan marahkan TNB tetapi marahkan orang yang tak bayar bil elektrik.

Jika rumah anda dibakar (terbakar) jangan marahkan bomba lambat sampai tetapi marahkan orang yang bakar rumah anda.

Itu adalah analogi contoh perbandingan mengenai fobia terhadap Islam, punca wujudnya Islamofobia.

Islamofobia ini dikatakan berpunca setelah wujudnya pihak, gerakan, pertubuhan yang kononnya mengaku Islam, ekstremis agama, berjihad hendak menegakkan negara Islam tetapi melakukan perkara-perkara yang sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam mengikut kitab al-Quran.

Fenomena fobia terhadap Islam semakin lama dilihat semakin serius semakin membahayakan semakin menimbulkan porak-peranda, menimbulkan kekacauan, permusuhan, pergaduhan, pembunuhan dan sebagainya.

Jangan marahkan mereka tetapi marahkan siapa yang menyebabkan mereka fobia itu.

Sehingga hari ini tidak ada pihak yang benar-benar berjaya menjelaskan punca kebencian melampau terhadap Islam ini.

Jauh sekali untuk menjernihkan keadaan, membetulkan yang tidak betul dan menghalang menyekatnya daripada terus merebak.

Ketika ini pun sudah dapat dilihat dengan jelas bahawa tidak ramai yang benar-benar mengamalkan ajaran al-Quran. Mudahnya disebut ajaran Islam sebenar.

Berbagai topeng agama digunakan bagi kepentingan masing-masing, sehingga digelar penunggang agama.

Golongan penunggang agama inilah yang menambahkan kekeliruan, kecelaruan bukan sahaja kepada orang Islam sendiri malah lebih teruk kepada yang bukan Islam.

Akibatnya, semua perlakuan keburukan, kejahatan, jenayah oleh sesiapa yang bertopengkan Islam akan ditudingkan dan diletakkan ke atas nama Islam.

Tindakan pengganas atau teroris agama mengebom membunuh di sana sini atas nama jihad agama, atas nama nak menegakkan negara Islam sudah menjadi berita yang biasa didengar.

Semuanya memberikan gambaran dan imej yang buruk, yang salah terhadap Islam.

Persepsi dan serangan negatif terhadap Islam oleh bukan Islam terlalu banyak di internet contohnya dari Christian Prince, malangnya tiada yang menjawabnya, menangkisnya, menghalangnya atau melawan balik.

Terbaru, tindakan seorang lelaki warga Denmark yang membakar al-Quran di Sweden beberapa hari lalu adalah contoh Islamofobia.

Kejadian berlaku di luar negara, negara yang dikatakan sebagai negara kafir, negara di luar kawalan kita.

Ada yang berpendapat tidak berbaloi menghukum syarikat tidak berkaitan atau satu negara hanya semata-mata dek perbuatan seorang lelaki yang dilihat kurang waras yang membangkitkan kemarahan ramai.

Ibarat marahkan nyamuk kelambu dibakar, beberapa pihak menyarankan untuk memboikot produk Sweden.

Kaedah boikot sebenarnya diperkenalkan oleh Captain Charles Boycott dari Ireland sekitar tahun 1880 yang kemudian diciplak oleh Yusof al Qaradawi.

Tindakan ini akan memberi kesan negatif kepada ekonomi negara-negara Islam, permusuhan dan Islamofobia yang berpanjangan.

Orang-orang Islam di Sweden akan menjadi mangsa, hubungan dua-hala antarabangsa turut terjejas, orang Islam yang berkerja di syarikat milik Sweden akan hilang pekerjaan.

Bagaimana jika Eropah mengenakan sekatan ekonomi ke atas semua negara Arab sebab boikot?

Sewajarnya OIC mengenakan satu SOP berkenaan pembekalan mushaf di negara bukan Islam bagi mengelakkan perkara sama berulang.

Ugut boikot tidak menyelesaikan masalah, malah tidak menyelesaikan isu Islamofobia yang telah merebak bak barah ke seluruh dunia ini.

Ia boleh membawa kepada peperangan dan permusuhan yang tiada kesudahan.

Hanya penjelasan berterusan mengenai segala salah anggap mengenai Islam sahaja yang mampu menghapuskan Islamofobia.

Penjelasan ini bukan sahaja kepada negara-negara bukan Islam tetapi keutamaan adalah kepada negara-negara Islam.

Jika bukan orang atau negara Islam yang mesti membetulkannya, menjelaskannya, siapa lagi?

*Tulisan di atas adalah pendapat peribadi penulis dan tidak melambangkan pendirian MEDIA VARIASI

Author

Pilihan Editor