KUALA LUMPUR: Pusat latihan dan pendidikan kecantikan profesional Clara International Beauty Group (CIBG) berjaya melahirkan 100 graduan kecantikan setahun.
Ketua Pegawai Eksekutif CIBG, Dr Woo Wee Kang berkata, pelajar yang menjalani latihan di CIBG bukan sahaja dari Malaysia malah CIBG turut menerima pelajar dari luar negara seperti Belgium, India, China, Nepal dan lain-lain lagi.
“Pelajar-pelajar didedahkan dengan pengalaman pendidikan berkelas dunia dan latihan kecantikan, kemahiran profesional yang kritikal dan eksplorasi budaya baharu serta nilai.
“Tempoh pengajian adalah 10 bulan di mana modul pelajaran adalah 70 peratus secara teori atau dalam talian, manakala tujuh bulan lagi mereka perlu berada di Malaysia untuk latihan amali.
“Clara International menawarkan Diploma Kecantikan, Diploma Rawatan Estetik yang diiktiraf United Kingdom, Diploma Terapi Kecantikan yang diiktiraf Switzerland.
“Pelajar yang berjaya tamat akan dianugerahkan CIDESCO yang diiktiraf antarabangsa, dengan sijil ini mereka boleh bekerja di mana-mana di dalam dunia sebagai profesional kecantikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Menandatangani Kerjasama Latihan dan Kemahiran CIBG dan SBH 2023, di Menara Kuala Lumpur, di sini.
Hadir sama, Pengerusi dan Pengasas CIBG, Prof Datin Dr Clara Chee; Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Woo Wee Kang; EXCO Perdagangan dan Industri Selangor, Datuk Teng Cheng Khim; Pengarah Seksyen Eropah dan Amerika MATRADE, Razida Hanim Abdul Razak.
Terdahulu, CIBG menjalin kerjasama dengan salun kecantikan dan pelangsingan badan yang terbesar di Jepun, Slim Beauty House (SBH) untuk mendapat pendidikan dan latihan di Malaysia.