HomeBeritaGara-gara tendang warga emas, lelaki maut dipukul

Gara-gara tendang warga emas, lelaki maut dipukul

Kota Bharu: Gara-gara menendang wanita berusian 50-an, seorang lelaki maut dipercayai dipukul sekumpulan lelaki di Masjid Tok Guru Pulau Melaka, di sini, malam tadi.

Lelaki berusian 20-an itu dipercayai mempunyai masalah mental namun bertindak sedemikian kira-kira jam 7 malam Ahad.

Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Azam berkata, pada awalnya dia melihat mangsa mengamuk di sekitar surau Pasar Kota Jembal, di sini, ketika waktu Zuhur sebelum datang ke masjid berkenaan.

Katanya, mangsa sempat menunaikan solat Asar bersendirian sebelum keluar dan secara tiba-tiba menendang serta menyepak wanita yang juga tukang masak sebuah sekolah tahfiz berdekatan ketika melalui pekarangan masjid terbabit.

“Melihat kejadian berkenaan, sekumpulan lelaki membantu wanita itu sehingga berlaku pergelutan menyebabkan mangsa dipukul sebelum didapati tidak sedarkan diri.

“Mangsa dilihat mengamuk beberapa jam sebelum kejadian berlaku, namun tiada yang membuat laporan polis kerana tidak menyangka dia akan mencederakan orang awam,” katanya seperti dilapor Harian Metro hari ini.

Azam berkata demikian ketika ditemui di pekarangan Masjid Tok Guru, Pulau Melaka, di sini, malam tadi.

Susulan kejadian, dipercayai sekumpulan lelaki yang terbabit dengan kejadian dibawa menaiki van oleh pihak polis untuk membantu siasatan

Azam berkata, menurut saksi lain mangsa yang dipercayai berasal daripada Pasir Puteh itu, menunaikan solat Asar dalam keadaan menangis sebelum secara tiba-tiba mengamuk semula di pekarangan masjid itu.

“Selain itu, mangsa baru pertama kali dilihat berada di kawasan ini dan tidak dikenali oleh jemaah atau penduduk setempat.

“Dia juga berpakaian seperti orang biasa namun perlakuannya yang menjerit dan menengking orang ramai menunjukkannya mempunyai masalah mental,” ujarnya.

Setakat ini, polis masih belum mengesahkan sebarang laporan rasmi berkaitan kejadian berkenaan.

Author

Pilihan Editor