HomeBeritaInikah reformasi yang dicanang selama ini? - Wan Fayhsal

Inikah reformasi yang dicanang selama ini? – Wan Fayhsal

CYBERJAYA: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempersoalkan agenda reformasi PH susulan Nurul Izzah Anwar dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Armada Bersatu itu mempersoalkan jaminan PH dalam mentadbir urus negara dengan baik apabila Anwar membenarkan ahli keluarganya campur tangan urusan pentadbiran.

“Anak beranak jaga kantung perbendaharaan negara. Inikah reformasi yang dicanang selama ini? Bukankah Nurul Izzah bercakap di World Economic Forum 2017 janji Pakatan Harapan ialah pisahkan peranan dan jawatan Menteri Kewangan daripada Perdana Menteri?

“Ini bukan sekadar langgar janji tapi terus khianat agenda Reformasi yang kamu laungkan saban tahun.

“Tell me is this a good governance? Apa jaminan skandal 1MDB takkan berulang dengan peranan yang tidak dipisahkan sebegini? Apa kata Abang Mat Sabu kita?

“Apa beza keluarga Anwar dengan keluarga Trump? Adakah ini makna dan prinsip pentadbiran Madani yang nak dibangunkan untuk bawa Malaysia menjadi maju? Pakat-pakat nilai,” katanya di Facebooknya pada Ahad.

Dalam kenyataan sama, beliau turut memuat naik gambar ketika bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melantik anaknya, Ivanka Trump sebagai penasihat kanannya juga.

Tambahnya, pelantikan Izzah yang dikatakan sebilangan penyokong PH sebagai pro bono itu adalah tidak jauh beza dengan situasi isteri kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu Datin Seri Rosmah Mansur berhubung skandal 1MDB.

“Rosmah bukan pegang jawatan bergaji tapi semua ahli perniagaan tahu pengaruh beliau ke atas Najib Razak sangat besar sampai 1MDB berlaku sebab anak dia juga yang kawan dengan Jho Low.

“Apa pun semua ini tadbir urus yang buruk. Nepotisme. Macam tak ada orang lain dalam Kerajaan Perpaduan/Madani yang boleh bantu Pak Syeikh jaga kantung negara.

“Kalau Izzah nak bantu boleh tapi jangan duduk bawah pengaruh papa di Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan! Carilah kementerian lain! Konflik berkepentingan!” tegasnya.

Author

Pilihan Editor