HomeBeritaIsu madrasah kaut untung tarik perhatian isteri TMJ

Isu madrasah kaut untung tarik perhatian isteri TMJ

KUALA LUMPUR: Isu bekas pelajar madrasah yang mendakwa didera dan dikurung secara salah, mendapat perhatian isteri Tunku Mahkota Johor (TMJ), Yang Amat Mulia (YAM) Che Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Che Puan Khaleeda menerusi Instastorynya telah mengulang siar video Tiktok seorang individu menggunakan akaun nama firdausashaj, yang memaparkan imej Pengerusi Sekretariat Gabungan NGO Selangor, Datuk Nazilah Idris.

Imej tersebut daripada video ketika Nazilah mengadakan sidang media berhubung dakwaan bekas pelajar madrasah itu turut disertakan dengan tulisan dengan tajuk ‘PUSAT JAGAAN BERTOPENGKAN LOGO CAPAL NABI KAUT UNTUNG’.

Tangkap layar yang diulang siar dari instagram Che Puan Khaleeda

Perkara itu kemudiannya dikongsikan oleh Nazilah di akaun Facebooknya, dengan hantaran “ada sahabat menghantar tangkap layar mengatakan YAM Che Puan Khaleeda berkongsi video Tiktok berkenaan di Instagram”.

Terbaharu, pihak polis memanggil semula bekas pelajar itu selepas lima bulan laporan polis dibuat bagi membantu melengkapkan kes siasatan kes penderaan oleh madrasah berkenaan.

Siasatan itu juga berkaitan pertuduhan polis terhadap ibunya, Zuraina Zamri selepas beliau mengaku tidak bersalah membuat laporan palsu, di Mahkamah Shah Alam, pada 26 September 2022.

Ia berikutan, dokumen pendakwaan belum diterima pihak pembelaan pada tarikh sebutan kes, 16 November 2022 sehingga terpaksa ditangguhkan pada 11 Januari ini.

Difahamkan, bekas pelajar itu akan hadir bersama peguam pihak ibunya.

Pihak bekas pelajar juga telah membuat laporan ke Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasan (SIAP) berhubung integriti pegawai penyiasat yang dilihat melakukan pendakwaan secara tergesa-gesa sebelum siasatan lengkap.

MEDIA VARIASI, pada 14 September 2022, melaporkan bekas pelajar madrasah yang tampil mendakwa didera teruk dan dikurung secara salah dan di premis madrasah berkenaan sejak April 2022.

MEDIA VARIASI pada 20 September 2022 turut menemubual eksklusif wakil Madrasah Darussolihin, Ridzuan yang mengaku madrasah berkenaan tidak mendapat kelulusan mana-mana pihak sejak 20 tahun lalu tetapi beroperasi di bawah Pertubuhan Kebajikan Darussolihin berdaftar sahaja.

Beberapa siri laporan bongkar mengenai pusat sudah pun mendapat maklum balas pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ia adalah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Pendaftaran Pertubuhan (ROS) selain SIAP.

Masing-masing mengesahkan pusat berkenaan tidak berdaftar dan tidak diwartakan dengan agensi berkaitan.

Ini termasuk kenyataan beberapa mangsa yang tampil tanpa paksaan.

Author

Pilihan Editor