HomeBeritaLZS kesal penyewa asnaf tinggalkan rumah dalam keadaan kotor, tak terurus

LZS kesal penyewa asnaf tinggalkan rumah dalam keadaan kotor, tak terurus

CYBERJAYA: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menzahirkan kekecewaan dengan tindakan sebilangan golongan asnaf yang meninggalkan rumah sewa dalam keadaan kotor dan tidak terurus.

Perkara itu susulan tular beberapa gambar rumah sewa yang kelihatan ditinggalkan dalam keadaan teruk oleh penyewa di Tanjung Karang, Selangor.

“LZS amat kesal dengan tindakan penyewa tersebut yang dimaklumkan seorang asnaf, meninggalkan rumah dalam keadaan kotor dan rosak. Sehubungan itu, pemilik rumah berkenaan disarankan untuk membuat aduan rasmi ke LZS bagi menghentikan bantuan sewa rumah tersebut memandangkan penyewa tidak lagi menetap di situ.

“LZS juga ingin mengingatkan semua asnaf yang menerima bantuan ini untuk amanah dan bertanggungjawab menjaga rumah sewa diduduki. Tindakan menganiaya pemilik rumah sewa ini akan menyebabkan asnaf lain sukar untuk menyewa pada masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi.

Untuk makluman, lebih 16,000 keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf di Selangor menerima bantuan sewa rumah dari LZS.

Bantuan berbentuk bulanan itu disalurkan terus ke akaun pemilik rumah sewa bagi menyantuni keperluan asas keluarga asnaf di Selangor.

Author

Pilihan Editor