HomeBeritaMahkamah minta peruntukan hukum syarak dalam hujahan Emilia

Mahkamah minta peruntukan hukum syarak dalam hujahan Emilia

KUALA LUMPUR: Mahkamah Syariah hari ini meminta hujah tambahan daripada Emilia Hanafi, untuk permohonan menarik balik tuntutan nafkah Iddah dan Mutaah yang telah difailkan pada tahun 2016 di Kuala Lumpur dengan kebebasan memfailkan kes semula.

Emilia adalah bekas isteri jutawan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin, bercerai pada 29 Januari 2016 namun masih memperjuangkan hak tuntutan nafkah Iddah dan Mutaah baginya.

Peguam yang mewakili Emilia, Azmi Rais dari Tetuan Zulkifli Yong & Azmi berkata, Hakim Shamsuddin Hussain meminta peruntukan daripada aspek dari hukum syarak untuk menyokong dan menguatkan permohonan.

“Tarikh keputusan adalah pada 28 Mac 2023.

“Hujahan tambahan perlu diserahkan dalam tempoh 21 hari sebelum 21 Mac 2023.

“Iddah dan Mutaah untuk keputusan permohonan tarik balik kes di Kuala Lumpur dan kebenaran untuk failkan semula,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Turut hadir peguam bersama (co-counsel) Nazri Yahya dari Tetuan Nazri Yahya & Co, Za’im Noor Alim dan Aqilah Najihan Shahrudin dari firma guaman yang sama dan pembantu Azmi, Ain Mawaddah Mohd Adanan dan Syamimi Ab. Rahman dari firma Tetuan Zulkifli Yong Azmi.

Peguam mewakili SM Faisal, Ummi Kartini hadir namun anak guamnya tidak hadir.

Emilia hadir bersama peguamnya dan wakil-wakil dari Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Sisters In Islam (SIS).

Untuk rekod, Emilia dan Faisal bercerai pada 29 Januari 2016.

Semasa penghakiman kes cerai, tiada perintah berkenaan harta sepencarian.

Ketika ini, Faisal menghadapi pertuduhan di Mahkamah Majistret menyebabkan kecederaan ke atas Emilia yang ketika kejadian merupakan isterinya di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bagi kes keganasan rumahtangga bersambung Khamis ini di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Author

Pilihan Editor