HomeBeritaMaritim Malaysia teruskan misi cari kru kapal jatuh di perairan Pulau Ketam

Maritim Malaysia teruskan misi cari kru kapal jatuh di perairan Pulau Ketam

CYBERJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menjalankan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan seorang kru kapal FV SHUENN MAN No. 23 yang jatuh di laut, sekitar perairan Pulau Ketam, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, Operasi CARILAMAT yang dikoordinasikan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru disambung pada hari kedua, jam 7.00 pagi tadi.

Menurutnya, operasi menggunakan bot PERKASA 36 dan dibantu oleh KD Teguh Samudera dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu, merangkumi keluasan 46.98 batu nautika persegi.

“Mangsa Syaefullah, 27, warga Indonesia dikatakan telah jatuh laut pada 10 Januari 2023 pada jam sekitar 10.57 pagi dan dilaporkan tidak memakai jaket keselamatan.

“Mangsa dilihat kali terakhir memakai baju bewarna hijau gelap sebelum dilaporkan hilang di laut,” maklumnya.

Terdahulu, operasi CARILAMAT berkenaan mula diaktifkan sejak jam 4.00 petang, semalam, dengan mengatur gerak bot PERKASA 36.

Dalam pada itu, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut ditubuhkan di Jeti Maritim Negeri Selangor.

Untuk makluman, kapal FV SHUENN MAN No. 23 berasal dari Taiwan dan dalam perjalanan ke Pelabuhan Mauritius, Afrika.

Susulan kejadian, Maritim Malaysia mengingatkan orang awam agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

“Sebarang aduan dan pelanggaran undang-undang serta situasi kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

Kapal FV SHUENN MAN No. 23 berasal dari Taiwan dan dalam perjalanan ke Pelabuhan Mauritius, Afrika // Foto: Fb Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Author

Pilihan Editor