HomeBeritaMATTA belum terima tarikh kemasukan pelancong China

MATTA belum terima tarikh kemasukan pelancong China

CYBERJAYA: Maklumat berhubung tarikh jangkaan kedatangan pelancong dari China ke negara ini masih belum diterima secara rasmi.

Timbalan Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Mohd Akil Mohd Yusof berkata, bagaimanapun pelancong dari China dijangka akan segera melancong ke luar negara termasuk Malaysia sebaik pintu sempadan negara mereka dibuka.

“Semua sedia maklum bahawa rakyat China suka melancong dan kita yakin, mereka akan keluar sebaik sahaja pintu sempadan dibuka setelah lebih dua tahun terkurung akibat COVID-19.

“Malah, MATTA juga telah sedia sepenuhnya untuk menerima kedatangan pelancong dari luar termasuk China ini,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Mohd Akil berkata demikian bagi mengulas jangkaan pelancong China melancong ke Malaysia susulan pembukaan semula sempadannya pada 8 Januari ini.

Tambah beliau, pihaknya akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

“Sudah pasti MATTA memandang berat isu ini tetapi apa pun kita patuh segala arahan KKM.

“Kalau syarat memerlukan pelancong menjalani ujian tindak balas rantai polimerase (PCR), kita akan patuhi,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor