HomeBeritaMHO gesa umat Islam bersatu beri tekanan kepada kerajaan Sweden

MHO gesa umat Islam bersatu beri tekanan kepada kerajaan Sweden

CYBERJAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyeru dan menggesa umat Islam seluruh dunia untuk terus memberi tekanan kepada kerajaan Sweden.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, tindakan pelampau sayap kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan membakar al-Quran harus dikecam.

Menurutnya, perbuatan pelampau itu akan menjejaskan keselamatan dan kestabilan yang tidak konsisten dengan nilai menghormati orang lain, kebebasan kepercayaan, hak asasi manusia dan kebebasan asasi manusia.

“MHO menyeru dan menggesa umat Islam di seluruh dunia, gerakan Islam yang ada serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia untuk mengecam tindakan Islamofobik ini sebagai tanda solidariti dan kesatuan umat Islam mempertahankan maruah umat Islam di samping mewujudkan tekanan kepada kerajaan Sweden agar mengambil tindakan terhadap ahli politik ekstrem ini.

“Selain itu, pihak MHO akan bekerjasama dengan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) serta NGO-NGO lain bagi memberi tekanan keras melalui pihak kedutaan Sweden supaya individu dari parti berhaluan kanan tersebut diambil tindakan tegas.

“Individu tersebut seolah-olah dilindungi kerajaan Sweden kerana tidak ada tindakan yang diambil dan semasa beliau membakar Al-Quran tersebut beliau serta pengikutnya dilaporkan dikelilingi anggota keselamatan, ini seolah-olah kerajaan Sweden secara tidak langsung seperti memberi kebenaran dan merelakan tindakan individu ini membakar Al-Quran,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Untuk rekod, Paludan membakar secara terbuka senaskah al-Quran di luar Kedutaan Turki di Stockholm, Sweden pada Sabtu lalu bersama kira-kira 100 orang peserta himpunannya selepas Turkiye dilapor membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Tindakannya yang telah menggemparkan umat Islam itu dilaporkan menerima kebenaran daripada kerajaan negara tersebut beserta kawalan daripada pihak polis.

Tegas Hishamuddin, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana membenarkan unsur-unsur ekstremis mensasarkan umat Islam, menyebarkan kebencian terhadap kesucian serta nilai Islam dan menjadi contoh membimbangkan mengenai Islamophobia.

Author

Pilihan Editor