HomeGlobalPelajar universiti cipta GPTZero, aplikasi kesan esei ditulis guna AI

Pelajar universiti cipta GPTZero, aplikasi kesan esei ditulis guna AI

SEORANG pelajar Universiti Princeton, Edward Tian, 22, berjaya mencipta sebuah aplikasi yang boleh mengesan jika sesebuah esei itu ditulis menggunakan kecerdasan buatan (AI) atau tidak, iaitu GPTZero.

Pelajar tahun akhir dalam bidang sains komputer dan kewartawanan itu menghabiskan percutian musim sejuknya di sebuah kedai kopi di kampung halamannya di Toronto menyiapkan aplikasi itu dan melancarkannya pada 3 Januari lalu.

Tian mencipta aplikasi tersebut sebagai tindak balas kepada kemunculan bot sembang dalam talian yang menghasilkan pelbagai jenis esei menggunakan AI yang dilancarkan pada hujung tahun lalu iaitu ChatGPT.

Menurut Tian, motivasinya untuk membina GPTZero adalah untuk menghalang pelajar melakukan plagiarism dengan menggunakan alatan AI untuk menulis esei mereka.

Katanya, aplikasinya meneliti ‘kebingungan’ teks yang merujuk kepada kepada kerawanan dalam gaya penulisan, di mana teks tulisan manusia lebih cenderung untuk tidak dapat diramalkan daripada kerja yang dihasilkan oleh bot.

“Jika teks adalah sangat rawak dan sangat tidak dikenali dan aplikasi itu bingung dengannya, ia lebih berkemungkinan dihasilkan manusia,” kata Tian, lapor CBS MoneyWatch.

Tambahnya, aplikasi itu juga mengkaji ‘keterlaluan’, yang merujuk kepada varian, atau ketidaktetapan dalam sesebuah teks.

“Terdapat banyak variasi dalam artikel yang dihasilkan oleh manusia,” jelasnya.

Sejak dilancarkan, aplikasi yang dihasilkan Tian itu telah digunakan oleh 80,000 orang, dan katanya, sejak itu dia telah dihubungi oleh guru dan pegawai kemasukan universiti dari seluruh dunia yang berminat dengan cara aplikasi itu berfungsi.

Walaupun GPTZero dicipta untuk memerangi plagiarisme akademik, Tian berkata, dia melihat aplikasinya akan digunakan untuk menangani isu lain yang akan datang dengan peningkatan populariti AI seperti kempen disinformasi dalam talian.

Tian juga sebenarnya tidak menentang AI kerana dia sangat teruja dengan kemunculannya dan mendapati berguna dalam penulisan kod komputer serta menyelesaikan masalah lain.

Namun, katanya adalah penting untuk membangunkan perlindungan bagi mana-mana teknologi baharu kerana ia memberikan penggunaannya rasa kredibiliti serta menggunakan teknologi tersebut dengan bertanggungjawab.

Author

Pilihan Editor