KUANTAN: Seorang penuntut universiti awam hilang dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan-rakannya di Pantai Cherating, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai mangsa dikenali sebagai Adam Ridhuan Abdul Rejab, 18, yang berasal dari Sri Kembangan, Selangor itu sekitar 1.45 petang tadi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama 19 lagi rakannya ke lokasi pelancongan itu untuk berkelah dan berehat.
“Menurut rakan mangsa, ketika membuat permainan bulatan di dalam air, ombak tinggi telah melanda kawasan itu dan mereka berpecah manakala mangsa kelihatan berada di kawasan yang lebih dalam, sebelum hilang daripada pandangan rakan-rakannya.
“Rakan mangsa kemudiannya mendapatkan bantuan orang sekeliling dan menyusuri pantai untuk mengesan mangsa yang memakai singlet celoreng hijau serta seluar pendek berwarna hitam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan dengan bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang. – BERNAMA