KUALA LUMPUR: Perolehan kumpulan pertama kapal tempur pesisir (LCS) dikurangkan daripada enam kepada lima unit selepas permohonan meneruskan projek itu dibincangkan semula kerajaan.
Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Panglima Tentera Laut Laksamana, Datuk Abdul Rahman Ayob mengesahkan perkara berkenaan.
“Pada asalnya, memang enam unit LCS tetapi semasa kita mengemukakan permohonan semula dan dibincangkan semula perkara ini, kita telah bersetuju untuk dikurangkan kepada lima. Jadi, kita harap dapatlah lima itu.
“Untuk kumpulan pertama, memang diputuskan untuk lima (unit). Keputusan ini sudah lama dibuat semasa kerajaan memutuskan untuk meneruskan LCS tersebut (tahun lepas),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perutusan Ulung Panglima Tentera Laut ke-18, di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.
Perutusan Ulung ini dihadiri 350 warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) (Navy People) dan disiarkan secara langsung ke semua markas formasi TLDM di seluruh negara.
Turut hadir ke majlis tersebut adalah Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Sabri Zali, Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md Ajis, Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy dan Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain.
Beliau berkata bagi meneruskan projek tersebut, terdapat penjanjian tambahan yang keenam akan ditandatangani tidak lama lagi.
Abdul Rahman berkata, sekiranya penjanjian itu dilaksanakan, ia akan membolehkan proses seterusnya berjalan dan pembinaannya akan diteruskan seperti yang dirancang.
“Sekarang okay. Tidak ada ada sesuatu yang mengejutkan dan kita berharap LCS ini dapat diterima mengikut jadual yang ditetapkan. Kita amat kekurangan aset-aset yang berkeupayaan tinggi seperti LCS.
“Dengan kehadiran LCS ini ia dapat membantu, memperkukuhkan dan membolehkan kita melaksanakan tugasan dengan lebih cemerlang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan perolehan kapal Littoral Mission Ship (LMS) kumpulan kedua akan direalisasikan dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
“Permohonan ini kita harap dapat dilaksanakan dan diluluskan tahun ini agar dapat kita melaksanakan proses perolehan yang memakan masa yang mana setiap kapal mengambil masa yang lama untuk dibina, setidak-tidaknya tiga tahun.
“Kali ini kita memerlukan LMS yang berkeupayaan tempur. Itu perbezaan ketara berbanding LMS yang telah kita peroleh iaitu empat LMS dari China sebelum ini. Untuk permulaan, kita mohon tiga,” katanya. – BERNAMA