HomeBeritaPihak guna jawatan aniaya Ridzuan akan didedahkan - Haniff Khatri

Pihak guna jawatan aniaya Ridzuan akan didedahkan – Haniff Khatri

KUALA LUMPUR: Peguam mewakili bekas calon kerusi Parlimen Kuala Langat dari Gagasan Bangsa bawah Gerakan Tanah Air (GTA) memaklumkan pihak yang menggunakan jawatan mereka untuk mencabuli kedaulatan undang-undang akan didedahkan di mahkamah nanti.

Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berpendapat anak guamnya itu didakwa secara pendakwaan curang di sebalik penganiayaan salah peribadi oleh orang berjawatan tinggi.

“Bagaimana orang yang memegang jawatan tertinggi masih dan terus mencabuli kedaulatan undang-undang atau ‘breach of the rule of law’?

“Mereka menggunakan jawatan mereka untuk mengenakan orang-orang yang tidak mereka suka, walaupun orang itu tidak bersalah.

“Siapa dan apakah jawatan mereka akan didedahkan di mahkamah tapi yang penting, akan didedahkan di mahkamah nanti.

“Bagaimana kedaulatan dimungkiri, ini perlu dihentikan,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Datuk Ridzuan Abdullah

Semalam, Ridzuan yang sebelum ini bertanding menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini.

Beliau didakwa atas 12 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0, melibatkan nilai RM378,000, dua tahun lalu.

Beliau membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, Mohd Ridzuan didakwa sebagai pemilik Syarikat Pupa International Sdn Bhd, telah memberikan suatu dokumen bertarikh 2 Mac dan 2 April 2021 iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama syarikat itu.

Ia bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 kepada ejen Perkeso dengan niat hendak memperdayakannya, yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut mengandungi pernyataan palsu tentang gaji.

Sedangkan, senarai pekerja yang dinamakan dalam dokumen itu tidak menerima gaji itu dan kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perkeso Putrajaya, pada tahun 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Haniff.

Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya untuk memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan, setiap bulan.

Sementara itu, Haniff berkata, anak guamnya yakin dia tidak bersalah dan akan menggunakan landasan dibenarkan dari segi perundangan dan kehakiman untuk mendapat keadilan.

“Tiada apa-apa yang perlu dikhuatirkan, atau dicurigakan untuk tentang dan sangkal pertuduhan guna landasan kehakiman.

“Keduanya, kita berharap bebas dari penganiayaan,” katanya.

Author

Pilihan Editor