HomeBeritaPolis temui mayat kanak-kanak OKU dalam guni

Polis temui mayat kanak-kanak OKU dalam guni

BAU: Polis menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) di dalam guni di Kampung Keranji, Bau, Sarawak.

Menurut Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon, mangsa yang berusia enam tahun itu dipercayai dibunuh dengan kejam oleh teman lelaki ibunya baru-baru ini.

Pihaknya menemukan mayat mangsa susulan penahanan suspek di sebuah premis menjual kereta di Jalan Laksamana Cheng Ho, Kuching bagi membantu siasatan kehilangan mangsa yang kemudian memandu polis ke lokasi mangsa dibuang.

Katanya, tahanan itu dilakukan berikutan laporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa pada 21 Disember lalu tentang kehilangan anaknya, selain laporan awal oleh orang awam pada hari sama mengenai seorang wanita dan anak perempuannya yang enggan pulang kerana takut dipukul teman lelakinya.

Maklum Poge, berdasarkan soal siasat, suspek mengakui memukul mangsa hingga tidak bernyawa, sebelum membuang mayatnya di kawasan semak di Kampung Keranji.

“Pada jam 6.45 petang (Rabu), suspek menunjukkan kepada polis tempat mayat kanak-kanak malang itu dibuang,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Menurutnya, ibu mangsa yang berusia 34 tahun turut dibawa ke lokasi dan mengesahkan mayat anaknya berdasarkan pakaian dan anak patung yang dipegang mangsa.

“Sehubungan itu, polis turut menahan ibu mangsa untuk membantu siasatan.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk prosedur bedah siasat.

Kes diklasifikasi sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Author

Pilihan Editor