HomeBeritaViral'Rider' pening, pelanggan minta tolong buang botol dalam sungai berdekatan Sunway Pyramid

‘Rider’ pening, pelanggan minta tolong buang botol dalam sungai berdekatan Sunway Pyramid

SETIAP pekerjaan itu pastinya mempunyai pengalaman, cabaran dan dugaan yang berbeza.

Seperti mereka yang membuat kerja penghantaran barang atau makanan, tentunya menemui aneka ragam pelanggan yang terkadang menyenangkan atau mungkin memeningkan kepala.

Seperti kisah yang dikongsi seorang lelaki di Twitter, Syafiq Unzir mengenai permintaan aneh dari seorang pelanggan.

Menerusi hantaran yang dimuat naik Syafiq iaitu sebuah gambar memaparkan notifikasi tempahan kerja yang diterima, ada sesuatu yang menjadi tumpuan warga maya.

Perkara itu adalah berhubung nota ringkas yang ditulis dalam pesanan yang meminta si penghantar untuk membuang ‘barang’ ke dalam sungai.

Malah, pelanggan berkenaan turut mengenakan syarat supaya memastikan rider yang mengambil pesanan itu mestilah seorang Muslim.

Berdasarkan gambar yang dimuat naik, pelanggan berkenaan meminta tolong si rider untuk membuang botol kaca lama yang dililit dengan kain.

Pastinya golongan rider berdepan situasi cemas dan ‘gelabah’ saat menerima pesanan sedemikian sekali gus menjadi buntu sama ada harus menerima atau membuat laporan sahaja.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen berpandangan supaya si rider terbabit memberanikan diri melaksanakan tugasan yang diberi dengan syarat meletakkan caj tinggi bagi perkhidmatan khas berkenaan.

Lebih mencuri perhatian apabila ada yang berseloroh mengatakan perkhidmatan penghantaran kini semakin maju apabila menerima pesanan membuang hantu.

Dalam pada itu, ada juga yang tertanya-tanya adakah lokasi yang dimaksudkan si pelanggan yang meminta barangnya untuk dibuang dalam sungai berdekatan Sunway Pyramid bermaksud di taman tema air iaitu Sunway Lagoon.

Author

Pilihan Editor