HomeBeritaViralLanggar kenderaan 'housemate' buat bising, bertengkar dengan kekasih

Langgar kenderaan ‘housemate’ buat bising, bertengkar dengan kekasih

SEORANG lelaki nekad melanggar kenderaan pasangan kekasih, gara-gara berang dengan bunyi pertengkaran bising dicetuskan oleh pasangan terbabit.

Berdasarkan rakaman video tular di media sosial, kejadian itu dipercayai berlaku di kawasan parkir sebuah kondominium di Brickfields, dekat ibu negara. 

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang lelaki berusia 40 tahun pada sekitar jam 2.15 petang Isnin.

Beliau berkata, dalam kejadian tersebut, pengadu dan teman wanitanya telah bertengkar di dalam rumah sehingga menyebabkan bunyi bising.

“Suspek lelaki berusia 35 tahun yang juga rakan kepada penyewa lain dalam rumah berkenaan berasa berang dengan pertengkaran pasangan itu.

“Selisih faham itu tidak terhenti di dalam rumah, sebaliknya menyebabkan berlakunya kejadian khianat kenderaan apabila suspek yang memandu didapati dengan sengaja melanggar kenderaan pengadu yang keluar dari parkir.

“Kenderaan pengadu mengalami kerosakan teruk, namun pengadu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat. 

Menurutnya, sepasukan polis yang menjalankan siasatan bertindak menahan suspek di Brickfields pada jam 6.15 petang Rabu. 

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dari 2014 dan masih dikehendaki bersabit kes jenayah di daerah Cheras.

Susulan itu, suspek direman tiga hari bermula Rabu sehingga Jumaat bagi siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan tuduh.

Author

Pilihan Editor