HomeBeritaSuhaimi Sulaiman bakal sandang jawatan Ketua Pengarah RTM

Suhaimi Sulaiman bakal sandang jawatan Ketua Pengarah RTM

CYBERJAYA: Jawatan Ketua Pengarah Penyiaran bagi Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal disandang oleh personaliti televisyen, Suhaimi Sulaiman.

Menurut sumber, keputusan itu dipersetujui Kementerian Komunikasi dan Digital memandangkan Suhaimi memiliki pengalaman besar lebih tiga dekad dalam dunia penyiaran negara.

Beliau dijangka akan memulakan tugasnya pada minggu hadapan.

“Pengurusan kanan RTM telah dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha kementerian,” katanya, lapor portal DagangNews.com pada Jumaat.

Sebelum ini, jawatan tersebut disandang seketika oleh Datuk Che Roslan Che Daud sebelum dikosongkan semula.

Selain Suhaimi dan Che Roslan, Datuk Ibrahim Yahaya yang merupakan bekas pengarang Berita Harian juga merupakan antara individu yang pernah menyandang jawatan berkenaan.

Untuk rekod, Suhaimi pernah memegang jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif di TV Sarawak namun sudah menamatkan khidmatnya pada Ogos 2022 dan beliau juga pernah memegang kerusi Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Bercerita tentang permulaan karier Suhaimi dalam industri media, beliau memulakan langkah dengan menjadi seorang wartawan dan penolong penerbit di saluran televisyen TV3 pada tahun 1990, sebelum menjadi penyampai berita TV3 pada tahun 1993.

Beliau juga merupakan salah satu individu penting yang mengusahakan permulaan melancarkan saluran berita 24 jam pertama di Malaysia, Astro Awani pada tahun 2007 sehingga Mac 2015.

Suhaimi kemudiannya meninggalkan Astro Awani demi memberi tumpuan kepada bidang Perundingan dan Latihan Media.

Author

Pilihan Editor