HomeBeritaTiada kenaikan cukai taksiran di Sepang pada 2023

Tiada kenaikan cukai taksiran di Sepang pada 2023

CYBERJAYA: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengumumkan bahawa kenaikan cukai taksiran di daerah itu tidak akan dilaksanakan pada tahun 2023.

Yang Dipertua MPSepang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, cukai taksiran memang salah satu perkara yang menjadi bualan hangat di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya di negeri Selangor.

Menurutnya, walaupun cukai taksiran MPSepang sudah lama tidak disemak iaitu lebih daripada 20 tahun, namun buat masa ini pihaknya tidak dapat menaikkan kadar cukai taksiran pada tahun ini.

“Kalau kita lihat dalam situasi sekarang, dengan berlakunya kenaikan harga barangan, kenaikan gaji pekerja dan sebagainya, menyebabkan jumlah kutipan cukai yang kita buat pada masa ini dengan perkhidmatan yang kita beri memang tidak dapat menampung keperluan tersebut.

“Dalam hal ini, memang MPSepang sebelum ini telah pun menyediakan atau pun membuat penilaian untuk menyemak semula cukai taksiran tersebut dengan melantik pihak perunding atau juru nilai untuk membuat penilaian ke atas cadangan tersebut.

“Kita sedang menyiapkan perkara tersebut dan proses-proses akan dilaksanakan, walau bagaimanapun pelaksanaan tidak akan dibuat pada tahun 2023 lagi,” kata Abd Hamid dalam sidang media pada Selasa.

Jelasnya, tahun ini merupakan masa untuk MPSepang melaksanakan proses-proses penilaian cukai taksiran daerah ini yang tertakluk kepada keputusan daripada kerajaan negeri Selangor.

“Jadi sebarang kenaikan cukai, perubahan dan sebagainya adalah berdasarkan kepada keputusan daripada kerajaan negeri Selangor,” ujar beliau.

Beliau menyatakan kerja-kerja proses penilaian cukai taksiran daerah ini berjalan selama dua tahun yang dimulakan dari tahun lepas lagi.

Author

Pilihan Editor