HomeBeritaABIM selar kenyataan MP Kapar, Menu Rahmah punca kanser, autisme

ABIM selar kenyataan MP Kapar, Menu Rahmah punca kanser, autisme

CYBERJAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyelar kenyataan Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali yang mendakwa sajian Menu Rahmah berkemungkinan memberi risiko penyakit autisme dan kanser.

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, dakwaan wakil dari parti PAS itu amat mendukacitakan kerana selaku seorang Ahli Parlimen, beliau sewajarnya mengemukakan penyelesaian yang boleh menambah baik kehidupan rakyat.

“Beliau tidak seharusnya memperlekeh sebarang inisiatif baik yang mendapat perhatian rakyat seperti Menu Rahmah dengan sentimen untuk mendapatkan populariti politik semata-mata.

“Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang ditampilkan sebagai kabinet bayangan kepada jemaah menteri Kerajaan Perpaduan ini perlu berperanan memberikan alternatif serta menjuarai isu rakyat secara ilmiah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Muhammad Faisal, PN tidak seharusnya mengambil pendekatan sedemikian yang mempertikaikan secara semberono tanpa kemukakan inisiatif yang baik.

Terdahulu, Dr Halimah menyatakan bahawa penyediaan makanan Menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan bersifat ‘low quality’ .

Justeru, beliau berasa bimbang dengan isu keterjaminan makanan yang terdesak sekarang dan didakwanya membingungkan kerajaan.

“Kita tak mahu jalan pintas, kita tak mahu kompromi daripada bekalan makanan yang berkualiti rendah.

“Saya tidak ada masalah dengan istilah Rahmah atau apa tetapi jangan sampai rakyat marhaen B40 diberikan bekalan makanan yang kualiti rendah dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, penyakit autisme dan sebagainya,” katanya ketika berucap membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Bagaimanapun, kenyataan Dr Halimah itu membuatkan rata-rata rakyat Malaysia ‘terpanggil’ untuk turut membahaskan isu berkenaan di media sosial dan majoritinya melahirkan rasa tidak berpuas hati dengan pendapat beliau.

Author

Pilihan Editor