HomeBeritaMahkamah & JenayahAkibat lari daripada pemeriksaan polis, dua motosikal berlanggar

Akibat lari daripada pemeriksaan polis, dua motosikal berlanggar

HILIR PERAK: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan rakaman video yang tular berkenaan kejadian kemalangan dua motosikal berlanggar adalah kerana penunggangnya cuba untuk lari daripada pemeriksaan polis.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, PDRM Hilir Perak mengesan video berdurasi 12 saat tular itu di laman Instagram pada Sabtu.

Menurutnya, kemalangan tersebut berlaku ketika Operasi Samseng Jalanan yang sedang dijalankan PDRM Hilir Perak bagi mencegah kegiatan lumba haram.

“Semakan pihak polis mendapati kejadian ini berlaku pada 8 Oktober 2022 jam lebih kurang 11.30 malam di Padang Speedy, Teluk Intan, Perak.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila salah seorang anggota polis yang bertugas ingin menghalang kegiatan lumba haram namun tidak mendapat kerjasama kerana salah seorang penunggang motosikal tersebut ingin melarikan diri daripada pemeriksaan pihak polis menyebabkan berlaku perlanggaran di antara kedua-dua motosikal tersebut.

“Dengan itu, satu laporan polis telah dibuat pada 9 Oktober 2022 dan kes masih disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, siasatan dalaman juga sedang dijalankan oleh Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dan tindakan telus akan diambil sekiranya berlaku salah laku di kalangan anggota semasa menjalankan tugas.

Beliau turut menasihatkan orang awam supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan terutamanya kepada penunggang motosikal bagi mencegah kegiatan lumba haram dan mencegah berlakunya kemalangan jalan raya.

Author

Pilihan Editor