HomeMV+EksklusifBank tarik kereta walau baki bayaran cuma RM500

Bank tarik kereta walau baki bayaran cuma RM500

KUALA LUMPUR: Jika ada sindiket kereta tunda, pastinya ada pihak lain yang mengarahkan untuk menunda kereta.

Siapa lagi kalau bukan pihak perbankan yang membiayai kos pinjaman kereta pelanggan.

Kereta sudah bayar lebih RM100,000, baki cuma RM500 sahaja tahu-tahu kena tarik dek sindiket kereta tunda atas arahan bank Ambank.

Begitu kisah yang dikongsikan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) oleh seorang pengadu yang juga pengamal media bernama Ahmad Mohsin Dadameah.

Kes itu sudah selesai selepas pemilik kereta mengambil tindakan tegas.

Bagaimanapun kisah itu tidak terhenti di situ, kejadian sama turut menimpa ahli PPIM.

Pada tengah hari Jumaat,  sebuah kereta jenis Volkswagen milik ahli PPIM  yang sudah dijelaskan bayaran RM120,000 ditarik agensi kereta tunda lantikan Public Bank tanpa sebarang surat mahkamah, permit tarik atau surat kebenaran asal oleh pihak bank.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, baki pembiayaan kereta itu hanya RM5,000 tetapi tidak berpuas hati dengan tindakan pihak bank yang mengarahkan agensi of tarik kereta berkenaan walaupun pembiayaan sudah melebihi 90 peratus.

Datuk Nadzim Johan

Beliau dimaklumkan kos pembiayaan kereta itu sudah mencecah 90 peratus, iaitu hampir RM120,000 dengan bayaran pendahuluan RM20,000, sejak 2016.

“Toqqi melihat bank ni, mengalahkan ‘loan shark’ (peminjam Ah Long), lebih daripada mahkamah, menekan orang, pembohong, tidak ada perikemanusiaan.

“Kalau orang dah boleh bayar lebih 60 peratus bulanan, maknanya orang itu nak bayarlah.

“Tetapi kereta itu tetap ditarik, ini bermakna bank telah melanggar Akta Sewa Beli, tarik kereta yang sudah di bayar lebih 75 peratus.

“Tindakan tetap dibuat kerana tiada tindakan tegas atas perlanggaran ini. Taktik langgar hak pengguna di dapati berkesan dan beri untung pada pihak bank,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Lagi pelik apabila Nadzim dimaklumkan pihak kereta tunda, arahan bank kepada mereka hanya bersandarkan surat salinan bukan surat asal daripada bank.

“Dia tahan kereta, baru ambil bukti. Mana boleh begitu, kena ada surat kebenaran asal bank, atau surat dari mahkamah.

“Kita berharap perkara seperti ini ikut undang-undang, tapi kalau macam ini bagi surat salinan lepastu boleh tahan mana-mana kereta, kalau macam tu, bank suruh rompak, rompaklah.

“Ini kebanyakan kesalahan pihak bank, dia ingat dia besar sangat. Kita pengguna, dalam RM5,000 saja bakinya,” sinisnya.

Justeru, Nadzim mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) prihatin dengan isu sindiket kereta tunda yang melibatkan pihak bank seluruh negara, kerana bukan satu dua kes yang datang mengadu kepada PPIM.

“Saya harap Menteri tengok isu ini, terutama orang susah. Nak bayar sebulan pun dah terseksa,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam, kereta Volkswagen milik ahli PPIM itu ditarik sindiket kereta tunda ketika singgah membeli barang di Petronas Sri Hartamas.

Bagaimanapun, isu itu sudah selesai selepas wakil PPIM lain datang.

Untuk rekod, institusi kewangan tidak dibenarkan untuk menarik kenderaan yang gagal membuat bayaran bulanan sekiranya penyewa telah melunaskan lebih 75 peratus daripada jumlah pinjaman sewa belinya menerusi Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2010.

Dengan pindaan syarat itu, institusi kewangan perlu mendapatkan perintah mahkamah sebelum boleh menarik kenderaan tersebut.

Pemunya (institusi kewangan) hanya boleh melaksanakan proses pengambilan semula melalui perintah mahkamah jika penyewa (pemilik kenderaan) telah membayar lebih daripada 75 peratus daripada jumlah keseluruhan harga tunai barangan tersebut yang dinyatakan di dalam perjanjian sewa beli berasaskan bayaran ansuran bulanan mereka.

MEDIA VARIASI sebelum ini, ada mangsa mengadu ke PPIM mendakwa kereta dijadikan tebusan, ekoran sindiket tunda kereta yang bekerjasama dengan bank, mengenakan caj melampau.

Turut tular isu tunda kereta di Pusat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) pada Ogos 2022, kerana dikatakan menunda kereta pengunjung termasuk milik pihak media tanpa sebarang notis.

Syarikat ‘towing’ berkenaan, malah lebih berani menunda kenderaan dengan saman RM100 walaupun tidak ada lesen tunda untuk menunda di lokasi berlangsung program, MAEPS, Serdang ketika itu, sehingga Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengarah untuk menghentikan operasi berkenaan serta-merta.

Peguam, Nazri Yahya juga dilaporkan berkata, mana-mana individu yang kereta mereka ditunda oleh pihak persendirian boleh membuat laporan polis.

Katanya, mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, mana-mana orang yang mengambil dan membawa pergi sesuatu kenderaan tanpa izin sama ada pemilik atau tanpa kuasa yang sah, adalah satu kesalahan.

Hanya polis, JPJ dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang ada kuasa untuk ambil tindakan terhadap kesalahan melibatkan salah parkir termasuk kuasa untuk mengalihkan kenderaan persendirian.

 

Author

Pilihan Editor