HomeBeritaBelanjawan 2023: Duti eksais dikenakan untuk rokok elektronik, vape

Belanjawan 2023: Duti eksais dikenakan untuk rokok elektronik, vape

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu perlu dilakukan bagi mengurangkan penggunaan vape.

“Walaupun vape bernikotin masih tidak sah di sisi undang-undang, hakikatnya telah dijual secara berleluasa dan dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion. Alangkah baik sekiranya ia dikawal selia dan dikenakan cukai supaya tidak menggalakkan penggunaan vape.

“Kerajaan menyokong ikhtiar Generational Endgame (GEG) dan bersetuju bahawa separuh daripada hasil duti eksais ini akan diperuntukkan semula kepada Kementerian Kesihatan sebagai usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan termasuk kempen antirokok dan antiarak yang berkesan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa sama, katanya, bagi mengurangkan ketirisan, usaha penguatkuasaan agensi kerajaan akan terus dipergiat bersama-sama pihak industri bagi mengekang ketirisan hasil dan subsidi angkara sindiket penyeludupan seperti diesel, arak dan rokok.

“Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan melaksanakan semula program pengakuan secara sukarela.

“Melalui program ini, pengampunan ke atas penalti 100 peratus akan diberikan bagi mereka yang membuat pengakuan sukarela dan membayar cukai mulai 1 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024,” katanya. – UTUSAN

Author

Pilihan Editor