IPOH: Empat warga emas maut selepas kereta yang dinaiki mereka, bertembung dengan sebuah treler muatan batu arang di Jalan Sungai Baru, Trong dekat sini petang Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Trong, Mohd Shahidan Hassan berkata, mangsa yang terlibat dikenali sebagai Ng Swee Ho, 67, Ng Ah Mooi, 63, Chew Yang Kim, 77 dan Kor Siok Har, 64.
“Menerima panggilan kecemasan pada 5.30 petang. Ia melibatkan treler bertembung dengan kereta yang mengakibatkan empat orang mangsa tersepit dan disahkan maut di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM), manakala pemandu treler didapati selamat,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Beliau berkata anggota bomba telah diarahkan mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan unit kuasa dan alatan kecemasan seperti pemotong dan spreader.
Kesemua mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut. – BERNAMA