HomeBeritaEnam maut, lapan cedera terbabit kemalangan di Genting Highlands

Enam maut, lapan cedera terbabit kemalangan di Genting Highlands

GENTING HIGHLANDS: Enam orang pelancong dilaporkan meninggal dunia akibat  terlibat dalam kemalangan yang berlaku di pembahagi jalan di Kilometer (KM) 4.8, Jalan Turun Genting, Pahang, hari ini.

Menurut Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, sebuah van yang membawa pelancong terbabas dan melanggar pembahagi jalan dan membabitkan 14 orang mangsa.

Komander Operasi Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Saufi Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kemalangan itu pada jam 1.15 petang, sebelum menggerakkan anggota Bomba daripada Balai Bomba Penyelamat (BBP) Genting Highlands.

Menurutnya, anggota bertugas daripada balai tersebut telah bergegas ke lokasi kejadian dengan membawa satu jentera dan satu van urvan sejurus panggilan diterima.

“Sejurus tiba di lokasi, pasukan bomba bertindak menjalankan operasi penyelamatan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan ‘Rescue Tool’.

“Terdapat 14 orang mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut. Enam daripadanya iaitu lima perempuan dewasa dan satu lelaki dewasa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Manakala lapan orang mangsa yang lain iaitu tujuh perempuan dewasa dan satu lelaki dewasa turut mengalami kecederaan,” katanya.

Tambah beliau, kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan lanjut.

Manakala, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

“Setelah memastikan tiada kemerbahayaan lain di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.31 petang,” maklumnya.

Author

Pilihan Editor