HomeBeritaHaram makan keropok kering tokek – Dr Zulkifli

Haram makan keropok kering tokek – Dr Zulkifli

 

CYBERJAYA: Tular di media sosial berhubung makanan inovasi terbaharu dikenali keropok kering tokek sehingga mula mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat.

Perkara itu berikutan sebilangan penjual yang rata-ratanya dari Indonesia beranggapan bahawa keropok berkenaan sesuai dijadikan lauk untuk dimakan bersama nasi dan menyifatkan rasa keropok itu seperti ikan masin.

Bagaimanapun, baru-baru ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap ilmuan agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyatakan haram untuk umat Muslim memakan keropok kering tokek berkenaan.

“Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami (ulama) berpendapat bahawa cicak termasuk dalam jenis haiwan yang haram untuk dimakan sebagaimana pendapat jumhur ulama kerana ia dianggap sebagai haiwan yang dianggap jijik, dan termasuk dalam jenis haiwan perosak yang diperintahkan untuk dibunuh. Justeru, inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan tepat.

“Lebih-lebih lagi, Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk,” maklumnya bagi menjawab persoalan berhubung hukum memakan keropok tokek itu.

Terdahulu, tular jualan keropok kering tokek di media sosial dan semakin mendapat permintaan di Malaysia menerusi portal beli belah dalam talian dan dijual pada harga sekitar RM38 sepeket.

Author

Pilihan Editor