HomeGlobalHasrat nak tengok tunang pakai 'wedding dress' terkubur - Mangsa gempa bumi...

Hasrat nak tengok tunang pakai ‘wedding dress’ terkubur – Mangsa gempa bumi Turkiye

‘SAYA merancang untuk memakaikannya gaun pengantin. Tapi sekarang, saya cuma boleh pakaikan dia jubah pengebumian.’

Itulah ungkapan yang diluah oleh mangsa gempa bumi di Turkiye, Yunus Emre Kaya, 24, yang kehilangan tunangnya akibat bencana gempa yang berlaku pada Isnin lalu.

Menurut Yunus, keperitan kehilangan insan tersayang yang tidak dapat diselamatkannya itu membuatkan dia kini hampir hilang perasaan dan hanya mampu meneruskan hidup seperti mayat hidup.

Yunus Emre Kaya

Bercerita tentang hari kejadian, Yunus menyatakan insiden tidak terduga itu berlaku pada waktu malam ketika dia sedang tidur namun terjaga kerana terdengar bunyi letupan.

“Saya terjaga sebab dengar bunyi yang terasa seperti letupan. Saya melihat telefon saya dan rumah mula bergegar.

“Saya tarik ibu saya dari biliknya, masa itu ayah saya sedang bekerja. Saya bawa ibu saya keluar dari rumah. Selepas saya bawa keluar ibu dari rumah, saya terus berlari mencari tunang saya.

“Boleh dikatakan hampir dua ke tiga kilometer saya lari dalam masa 10 minit. Saya sendiri tidak tahu yang saya boleh berlari sedemikian,” ungkapnya ketika ditemu bual oleh CBS News.

Bagaimanapun, usaha Yunus untuk menyelamatkan tunangnya yang berusia 20 tahun itu tidak kesampaian, lantas hari pernikahan yang dijangka berlangsung dua bulan lagi terpaksa dikuburkan.

Kesedihan yang dialami Yunus semakin menebal apabila dia teringat akan kata-kata tunangnya sebelum ini, yang seolah-olah mendapat petanda bahawa jodoh mereka tidak kesampaian.

“Kadang-kadang seseorang merasakan sesuatu yang buruk akan datang.

“Sebelum ini, tunang saya ada kata, ‘Emri, saya rasa kita tidak akan dapat melangsungkan perkahwinan itu’, dan perkara ini buatkan dia berasa sedih. Nampaknya tunang saya dah rasakan apa yang akan berlaku.

“Saya ada cakap dekat dia, apa pun yang berlaku, tiada apa yang boleh menghalang saya untuk terus bersama dengannya. Tapi, kami tidak pernah membayangkan benda macam ini (gempa bumi) akan berlaku,” luahnya.

Untuk rekod, angka kematian di Turkiye kini meningkat kepada sekurang-kurangnya 17,674 dengan 72,879 yang lain dilaporkan cedera pada Khamis, menurut kenyataan Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye.

Manakala jumlah mangsa yang cedera di Syria merentasi semua wilayah yang terjejas, meningkat kepada 5,245, dengan 2,295 dalam kawalan kerajaan serta 2,950 di kawasan yang dikuasai pemberontak.

Author

Pilihan Editor