HomeMV+PendapatHentikan 'meroyan' soal politik, fokus isu rakyat

Hentikan ‘meroyan’ soal politik, fokus isu rakyat

RAKYAT sebenarnya sudah muak dengan ‘politik meroyan’ yang dipelopori suara-suara tokoh politik yang masih tidak berpuas hati dengan kepimpinan hari ini.

Itu tidak kena, ini salah, itu tidak betul, yang betul dan benar seolah-olahnya hanya mereka sahaja.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin antara pemimpin yang dilihat masih ‘meroyan’ dengan pelbagai dakwaan terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Sikap meroyan ini secara hipotesisnya adalah satu tugas wajib buat setelah menerima dedak daripada pihak lawan yang kini sedang disiasat SPRM berkaitan dana ratusan juta ringgit.

Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohammad dikatakan memegang ‘alat kawalan jauh’ dalam isu berkait pemilihan UMNO dan kes mahkamah, bagi memastikan Presiden UMNO jatuh menerusi broker-brokernya.

Ragam orang politik berkenaan bagi golongan rakyat marhaen yang cuma kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, tidaklah penting untuk didengari atau dibaca.

Rakyat dengan pendapatan mengikut Paras Garis Kemiskinan (PGK) RM2,200 adalah miskin bandar untuk hari ini, dan golongan miskin bandar inilah paling ramai tertekan hingga sanggup bunuh diri kerana duit.

Jarang kita dengar kisah orang tinggal di desa bunuh diri atau depresi, rata-rata kes yang berlaku sedemikian hanyalah di bandar dan pinggir bandar sekali gus menjadi bukti seriusnya isu miskin bandar.

Tambah pula, kerajaan kini menyatakan pengeluaran KWSP tidak dibenarkan membuatkan sebilangan rakyat terkadang hampir ‘mati akal’ untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik berkata, kadar kemiskinan tegar di bandar kini sudah menyamai kawasan desa, malah sedang merangka strategi menaikkan taraf hidup rakyat.

Bagi rakyat bawahan, orang politik ini apabila mereka tiada jawatan, tiada kuasa baharulah hendak meroyan.

Segala rasa tidak puas hati diluahkannya kini, mengadu domba dan cuba mengganggu sistem pentadbiran sedia ada.

Cukuplah berpolitik, menjatuhkan sesama sendiri, rakyat sudah muak, itulah yang seringkali didengari di kedai kopi di sana sini.

Apa yang rakyat bimbang setiap masa adalah cukupkah duit untuk beli makan untuk keluarga di esok hari?

Bagi pembuat dasar pula, harus fikir solusi kurangkan beban rakyat untuk keharmonian negara.

Terlalu banyak isu yang sedang bermain hari ini, yang bukan mudah jika kita jadi kerajaan.

Isu skandal penyelewengan zakat RM7.2 juta di Negeri Sembilan masih ‘panas’.

Lebih mengejutkan apabila, sumber mendedahkan kakitangan di pusat zakat berpendapatan berlipat kali ganda lebih tinggi daripada mereka yang makan gaji, kerani di pusat zakat bergaji RM6,000 sebulan, pengurus pula RM20,000.

Mereka terima pampasan ratusan ribu daripada kutipan zakat meskipun tak hilang kerja.

Pendapatan dan pampasan kakitangan pusat zakat yang tinggi diperolehi daripada kutipan zakat menambah ‘sakit hati’ rakyat mendengarnya.

Bagaimanapun, kes yang didedah oleh orang awam itu kini sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) walaupun pernah diklasifikasi No Further Action sebelum ini setelah viral.

Manakala rakyat yang hilang kerja walaupun terima surat kemenangan daripada Jabatan Tenaga Kerja, tetap gagal terima tuntutan gaji kerana majikan sudah tutup syarikat, tutup operasi.

Pendapatan kakitangan yang tinggi diperolehi daripada kutipan zakat yang menambah ‘sakit hati’ rakyat mendengarnya.

Dalam isu berasingan, seorang usahawan wanita secara tipu guna logo Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan PPIM Distributor untuk kelepet dana awam RM660,000 sedang disiasat.

MAIS mengesahkan kejadian itu dan membuat laporan polis agar tindakan diambil terhadap usahawan dan ‘kumpulannya’.

Bagaimanapun, isu kepentingan rakyat ini dilihat seperti tidak menarik minat Pak Mail dan KJ untuk diulas.

Sedangkan jika suara mereka digunakan untuk isu-isu rakyat sebegeni, ia lebih baik agar hak rakyat tidak terus dirompak dan agensi kawal selia ditambah baik.

Sementelah pula KJ sudah memiliki tugasan rasmi sebagai penyampai radio, adalah lebih mudah untuknya mengetengahkan isu yang menjadi kebimbangan rakyat di pentas nasional.

Bukan terus-menerus menembak parti politik yang pernah menaikkan nama mereka dan menjadikan siapa diri mereka hari ini, walau baik atau buruk dihadapi yang pasti mereka bukanlah kelompok miskin bandar yang ‘struggle’ untuk hidup.

Kata orang, tak boleh terima kasih sekalipun janganlah pula mencela balik kepada mereka yang pernah berbudi.

*Tulisan di atas adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian MEDIA VARIASI

Author

Pilihan Editor