HomeMV+PendapatIsmail Sabri ibarat menambah duri dalam daging

Ismail Sabri ibarat menambah duri dalam daging

NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa UMNO akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan semula sokongan golongan muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sebagaimana Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Ia berikutan tindakan parti itu memecat pemimpin kritis seperti bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Khairy, bersama bekas ketua UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada parti kerana didakwa mensabotaj parti semasa PRU15, manakala beberapa pemimpin dan ahli lain digantung selama enam tahun.

Kenyataan Ismail Sabri itu viral sejak beberapa hari lalu kerana beliau dilihat mempersoalkan secara terbuka berhubung keputusan ‘pembersihan’ broker-broker Perikatan Nasional (PN) dalam UMNO pada 27 Januari lalu.

Tindakan Ismail Sabri itu ibarat menambah duri dalam daging UMNO yang telah lama bernanah berikutan sikap pemimpin yang khianat terhadap parti.

Ibarat menepuk air di dulang terpecik ke muka sendiri, apabila beliau mengatakan pemecatan Khairy mengurangkan undi Melayu kerana Ismail Sabri sebagai poster boy BN pada PRU lalu, beliau sendiri gagal menarik undi Melayu.

Sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) adalah tidak wajar membuka pekung seperti itu, seolah curang kepada sumpah jawatannya terhadap parti.

Malah, namanya turut disebut-sebut sebagai pengkhianat dalam London Move yang bersekongkol dengan PN untuk jatuhkan Presiden UMNO.

Sikap talam dua mukanya terserlah ketika usul tiada pertandingan dua jawatan penting UMNO, beliau bangun berdiri memberi sokongan, namun sebaik sahaja lensa media dihalakan ke wajahnya beliau menyatakan sebaliknya iaitu tidak setuju.

Sepatutnya beliau disenaraikan untuk dipecat, namun kerana jasanya kepada UMNO menyebabkan kedudukannya dikekalkan.

Ismail Sabri juga wajar beri penerangan kepada akar umbi ahli UMNO kedudukan sebenar selepas parti ini dibersihkan daripada pengkhianat, namun ia tidak dilakukan.

Bukannya memberi gambaran seolah-olah UMNO belum dibersihkan, secara mata kasar beliau beri sokongan kepada BN tetapi berkempen memburukkan UMNO.

Seperti kisah serigala yang tidak dapat makan buah anggur manis yang terletak atas pokok dan tidak tercapai olehnya.

Jadi dia beritahu serigala yang lain jangan makan anggur ini kerana ianya masam dan dicadangkannya agar ia ditebang dan digantikan pokok yang baru.

Ismail Sabri didakwa mewujudkan kumpulan berhaluan kiri dalaman UMNO dengan puak yang sudah dipecat dan digantung seperti Noh.

Noh meramalkan UMNO kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) terutama di Selangor sedangkan ia kenyataan tidak wajar dikeluarkan oleh bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor.

Kenyataan memburukkan kepimpinan UMNO secara terbuka kepada khalayak tidak akan memberi kebaikan kepada mana-mana pihak.

Noh juga diharap menilai semula diri sendiri, dan pengkhianatan beliau perlu dihukum oleh akar umbi UMNO pada PRN nanti.

Akar umbi yang tidak tahu akan mencemuh, yang tahu kebenaran pula akan berdiam dan isu yang sama akan berulang, tanpa tahu ke mana hala tuju perjuangan asal parti keramat Melayu ini.

Sebaik-baiknya kepimpinan UMNO mengambil iktibar kepimpinan parti lain seperti DAP.

Daripada ahli yang sedikit ketika ditubuhkan pada 1965, daripada hanya sembilan kerusi Parlimen dimenanginya pada tahun 1969, kini berjaya peroleh 40 kerusi Parlimen pada PRU15 lalu.

Walaupun mereka tidak menerima jawatan menteri Kabinet lebih daripada sepatutnya namun mereka fokus dengan matlamat perjuangan parti mereka.

Tidak dengar sebarang gerakan pintu belakang untuk menjatuhkan Presiden, setiap keputusan parti mereka akur.

Dalam saat UMNO masih alpa tentang ketidakpuasan hati terhadap pucuk pimpinan DAP sudah berada di puncak menjadi kerajaan pada tahun 2018 dan mengulangi kedudukan sejak 2022.

Kesimpulannya, kejatuhan parti terbesar Melayu ini bukanlah berpunca dari orang luar tetapi berpunca daripada sikap pentingkan diri ahli parti yang mengajak kepada perpecahan.

*Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian MEDIA VARIASI

Author

Pilihan Editor