KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 Isnin (13 Feb) ini, yang kedua di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, pada 19 Disember lepas telah diadakan persidangan Dewan Rakyat pertama di bawah Kerajaan Perpaduan selama dua hari, antara lain melibatkan pembentangan usul undi percaya bagi keabsahan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10, serta pembentangan bajet mini.
Menurut takwim di laman web Parlimen, persidangan kali ini yang berlangsung selama 29 hari tertumpu kepada perbahasan Titah Diraja bermula 15 Februari hingga 21 Feb serta pembentangan semula Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 oleh Anwar merangkap Menteri Kewangan, yang dijadual berlangsung pada 24 Feb.
Rang Undang-undang itu seterusnya akan dibahas di peringkat dasar selama enam hari bermula 27 Feb serta sesi jawapan menteri pada 8 Mac dan 9 Mac, sebelum disusuli perbahasan peringkat jawatankuasa pada 13 Mac hingga 28 Mac.
Anwar pada majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kewangan pada 8 Feb lepas, dilaporkan berkata Belanjawan 2023 akan mengambil kira cabaran ekonomi semasa tetapi boleh memacu pertumbuhan negara, menarik pelaburan ke dalam negara serta memberi rahmah kepada rakyat.
Turut dijangka mencuri tumpuan adalah pembentangan kertas putih berkaitan perolehan dan kos pembelian vaksin COVID-19 yang didapati tidak mengikut prosedur sebelum ini.
Selain itu, Kertas Putih mengenai kes Batu Puteh turut dijangka dibentangkan untuk tindakan selanjutnya, disediakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Persidangan kali ini juga bakal menyaksikan pembaharuan termasuk sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) pada setiap Selasa yang dijalankan secara ujian rintis bermula 13 Feb.
Dalam wawancara bersama Bernama baru-baru ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul memaklumkan sesi itu bagi membolehkan Perdana Menteri menjawab soalan yang ditujukan kepadanya, namun ia belum boleh dimaktubkan sebagai sesi tetap.
Menurut Johari, ia bagi mengenal pasti masalah yang mungkin timbul susulan pelaksanaan sesi itu, selain ia juga memerlukan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sebelum digazetkan sebagai sesi tetap sidang Dewan Rakyat.
Selain itu, sesi Kamar Khas juga ditambah baik dengan membanyakkan jumlah usul iaitu daripada dua usul setiap sesi kepada empat usul.
Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung dari 13 Feb hingga 30 Mac. – BERNAMA