HomeBeritaJika ada subsidi, lebih ramai pengusaha mampu sediakan Menu Rahmah - Srikandi

Jika ada subsidi, lebih ramai pengusaha mampu sediakan Menu Rahmah – Srikandi

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (Srikandi), Presiden Srikandi, Datuk Norashikin Abd Ghani berkata, jika kerajaan memberi subsidi khas, lebih ramai pengusaha makanan mampu menyediakan Menu Rahmah.

Beliau yang juga pemilik restoran Titi Papan Damansara Jaya berkata, subsidi khas kepada pengusaha itu adalah untuk mendapatkan harga lebih murah bagi kos bahan mentah.

“Sebenarnya sesiapa sahaja mampu sediakan Menu Rahmah, termasuk saya sebagai pengusaha makanan.

“Ketika ini kos bahan mentah amat mahal, contoh bahan asas masakan RM80 satu pek kecil sahaja.

“Lainlah pengusaha restoran mamak yang berada di bawah payung persatuan, mereka sudah diberi subsidi jadi mereka ada kemampuan itu.

“Jika pengusaha restoran Melayu juga diberi subsidi sama, rasanya usaha untuk memperbanyakkan Menu Rahmah ini tidak mustahil boleh dilakukan.

“Mungkin juga kerajaan boleh sediakan baucar kepada pelanggan untuk mendapatkan diskaun makanan dan pengusaha boleh buat tuntutan daripada kerajaan,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Beliau berkata demikian pada Majlis Mesyuarat Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda (Permas) Wilayah Persekutuan & Putrajaya, di Hotel Adamson, di sini.

Yang turut hadir, tetamu jemputan, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan; Presiden Permas, Datuk Ismail Awang; Timbalan Pengerusi Permas Wilayah Persekutuan, Datuk Alamin Azwar.

Terdahulu, Norashikin mengulas pelancaran Menu Rahmah berharga RM5 bagi hidangan makanan tengah hari atau makan malam di lebih 15,000 restoran untuk golongan B40 bermula 31 Januari lalu.

Inisiatif oleh kerajaan itu bertujuan memastikan golongan berpendapatan rendah khususnya, mampu membeli makanan di restoran pada harga yang berpatutan.

Namun yang menjadi isunya harga ikan, sayur, ayam dan beberapa barangan lain yang tidak pernah turun menyebabkan ramai berpandangan kerajaan perlu mencari jalan menyelesaikan masalah daripada akar umbi.

Bukan sahaja pelaksanaan Menu Rahmah terhenti di tengah jalan, malah dikhuatiri separuh jalan kerana kos bahan mentah yang tiada tanda untuk turun.

 

Author

Pilihan Editor