BALING: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut selepas rumahnya di Kampung Besah, Kuala Ketil dekat sini, terbakar kira-kira 7 pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, mangsa dikenali sebagai Nor Batrisha Razali.
Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) negeri menerima panggilan kecemasan pada 7.08 pagi dan telah mengarahkan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Baling ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati sebuah rumah kelas B telah terbakar 90 peratus dan mangsa ditemui di dalam bilik tidur tingkat bawah rumah terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Supt Shamsudin Mamat yang mengesahkan kejadian itu berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan laporan penuh akan menyusul,” katanya. – BERNAMA