PUTRAJAYA: Seorang lelaki yang yang membuat dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan RM10 juta kepada bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, ditahan SPRM, semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, lelaki terbabit, Mohamad Shafiq Abdul Halim, ditahan mengikut Akta SPRM 2009 kerana mengganggu siasatan.
Menurutnya, individu itu ditahan selepas hadir ke ibu pejabat SPRM di sini, 3.30 petang semalam.
“Walaupun saya tahu dia telah membuat permohonan maaf dalam Facebooknya, namun demikian ini satu perkara yang saya tegaskan sekali lagi saya secara peribadi tidak ampunkan orang begini yang merosakkan reputasi SPRM dengan membuat tuduhan liar.
“Kalau hendak cakap secara jujurnya, mana hendak cari RM10 juta dan beri kepada Wan Saiful. Akibat daripada kenyataan itu dia telah menimbulkan satu spekulasi yang amat tidak baik kepada SPRM dan benda ini tidak boleh dipadamkan, ada yang masih percaya wujud perkara itu.
“Jadi minta maaf, itu saya rasa satu perkara yang sengaja dipermain-mainkan,” katanya pada sidang media, hari ini.
Tegasnya, SPRM menjalankan tugas secara profesional bergantung kepada aduan dan maklumat yang diterima tanpa menjadi alat untuk mana-mana parti politik.
“Kami bukan alat untuk mana-mana parti politik, kami menjalankan siasatan berdasarkan maklumat yang ada. Tiada siasatan terpilih atau pendakwaan terpilih dalam isu ini,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah video di media sosial memaparkan seorang lelaki mendakwa RM10 juta ditawarkan SPRM supaya Wan Saiful, 48, menukar kenyataannya dengan mengatakan bahawa beliau menerima arahan daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerima wang rasuah.