HomeSukanManchester City didakwa langgar peraturan kewangan Liga Perdana

Manchester City didakwa langgar peraturan kewangan Liga Perdana

MANCHESTER City didakwa oleh Liga Perdana kerana melanggar peraturan kewangan lebih daripada 100 kali dalam tempoh sembilan musim.

Tuduhan yang dibuat terhadap juara bertahan itu berkaitan dengan maklumat kewangan mengenai hasil, butiran imbuhan pengurus dan pemain, peraturan UEFA dan keuntungan serta kerjasama dengan penyiasatan Liga Perdana.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan daripada liga itu, pelanggaran dilakukan Manchester City dari September 2009 hingga musim 2017/2018 dan kini akan dirujuk kepada suruhanjaya bebas.

Malah, kelab itu turut didakwa melanggar peraturan liga yang memerlukan peruntukan ‘dengan niat baik’ dan ‘maklumat kewangan tepat yang memberikan pandangan yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan kelab’.

Sekiranya Man City didapati bersalah, kelab berkenaan akan berdepan pelbagai kemungkinan termasuk pemotongan mata dan penyingkiran.

Sehingga kini, Man City masih belum mengulas tetapi Sportsmail percaya bahawa pihak terbabit bersedia untuk ‘teguh’ mempertahankan diri.

Berdasarkan tarikh yang dinyatakan, Man City telah memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana, satu Piala FA dan tiga Piala Carabao.

Liga Perdana berkata dalam satu kenyataan: ‘Selaras dengan Peraturan Liga Perdana W.82.1, Liga Perdana mengesahkan bahawa ia hari ini telah merujuk beberapa dakwaan pelanggaran Peraturan Liga Perdana oleh Kelab Bola Sepak Manchester City kepada Suruhanjaya.’

 

Author

Pilihan Editor