JOHOR BAHRU: Menu Rahmah dan Jualan Rahmah tidak menjejaskan atau merugikan mana-mana peniaga.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub sebaliknya berkata, ia membantu meningkatkan jualan mereka dengan kedatangan lebih ramai pelanggan.
“Dua hari hari lepas Pengurus Besar Econsave menyatakan peningkatan 30 peratus jualan di seluruh negara, ini yang kita harapkan maknanya tidak rugi mereka yang memberikan komitmen kepada Jualan Rahmah dan Menu Rahmah ini.
“Ia memberikan keuntungan kepada semua pihak, rakyat dapat menikmati harga yang lebih murah …majoriti peniaga mengatakan dengan menawarkan Menu Rahmah, pelanggan mereka bertambah dan sedikit pun tidak jejas model bisnes,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Menu Rahmah Restoran Burger King di restoran Burger King Persiaran Indah di sini hari ini.
Restoran makanan segera berkenaan merupakan yang pertama di negara ini memperkenalkan Menu Rahmah dalam sajiannnya dengan menawarkan sebiji burger dan sebotol air mineral pada harga RM5 di 140 cawangannya di seluruh negara.
Dalam pada itu, Salahuddin berkata, pihaknya mengambil maklum aduan orang ramai berhubung sesetengah pengusaha kedai makan dan restoran yang mengehadkan waktu penjualan Menu Rahmah.
“Saya terima pandangan (waktu jualan) itu, kita akan selaraskan, akan ada aplikasi direktori dan kita akan pamerkan operasi di mana menu boleh didapati, mula pukul berapa dan sampai pukul berapa. Kita sedang bangunkan dan akan siap dalam masa terdekat.
“Pandangan itu akan diambil pihak kementerian untuk memudahkan pelanggan menikmati Menu Rahmah ini,” katanya. – BERNAMA