HomeSukanNafi jadi 'pak turut', Hamidin anggap TMJ kawan karib

Nafi jadi ‘pak turut’, Hamidin anggap TMJ kawan karib

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan badan induk itu acap kali menjadi ‘pak turut’ bagi pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan, Tunku Ismail tidak pernah mengawal FAM mahupun dirinya dalam membuat sebarang keputusan mengenai bola sepak negara.

Katanya, hubungan beliau dengan Tunku Ismail persis kawan karib yang sentiasa mendengar dan memberi cadangan serta pendapat bagi memajukan bola sepak tempatan.

“Hubungan saya dengan Tunku Ismail macam kawan rapat. Tunku Ismail tak pernah arahkan saya untuk buat keputusan menyebelahi pihak tertentu.

“Tunku Ismail selalu tanya pandangan saya dalam bola sepak dan beliau juga tidak lokek berkongsi pandangan dan cadangan yang bernas.

“Kalau ada orang kata FAM dikawal pun tak betul. Sebaliknya Tunku Ismail selalu ambil berat tentang bola sepak dan banyak membantu pasukan kebangsaan.

“Apa orang nak kata itu terpulang kepada mereka, kita tak boleh nak tutup mulut semua orang,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian susulan timbul dakwaan bahawa Tunku Ismail atau dikenali Tengku Mahkota Johor (TMJ) seolah-olah mengawal tindak-tanduk FAM.

Malah, ada juga yang mendakwa TMJ ‘tangan ghaib’ dalam mencatur pemilihan pemain skuad Harimau Malaya pada setiap kejohanan antarabangsa disertai.

Author

Pilihan Editor