KUALA LUMPUR: Sekretariat Gabungan eHailing Malaysia, Persatuan Kebajikan Pekerja Industri eHailing Malaysia telah mengadakan satu sesi libat urus tertutup bersama Pihak Pengurusan Grab Malaysia (Hal Ehwal Awam).
Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia, Jose Rizal berkata, perbincangan utama berkisar terhadap isu-isu permasalahan berkenaan perubahan struktur kadar upah yang telah dilaksanakan pada 16 Januari 2023 baru-baru ini.
“Hal-hal lain berkaitan urusan kebajikan rakan-rakan pemandu juga disampaikan dan beberapa cadangan dari pihak Gabungan eHailing Malaysia untuk pertimbangan pihak pengurusan Grab Malaysia demi menjamin kebajikan dan kelestarian industri e-hailing Malaysia.
“Diharapkan agar dengan sesi libat urus ini akan ada tindakan dan respons tuntas terhadap perkara-perkara yang telah dibangkitkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Turut serta bersama dalam sesi tersebut wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan peguam.