HomeBeritaPDRM tak perlu 'double standard' dengan wanita - Young Syefura

PDRM tak perlu ‘double standard’ dengan wanita – Young Syefura

CYBERJAYA: Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar tidak prejudis dan bersifat seksis terhadap wanita ketika menjalankan tugas mereka.

Young Syefura berkata demikian susulan perkembangan semasa mengenai kejadian membabitkan seorang wanita tidak dibenarkan masuk ke sebuah balai polis kerana dinyatakan bahawa dia tidak berpakaian sopan.

Menurutnya, beliau juga meneliti kenyataan terkini Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani mengenai kejadian tersebut yang menyatakan orang ramai perlu patuh tatacara berpakaian seperti termaktub dalam Rukun Negara iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ jika berurusan dengan pejabat kerajaan termasuk Ibu Pejabat Polis.

“Saya menyeru kepada PDRM agar menjalankan tugas mereka tanpa prejudis, tanpa sifat seksis terhadap wanita dan tanpa menilai seseorang melalui pemakaian mereka. Rata-rata yang hadir ke balai polis untuk membuat laporan polis adalah rakyat yang memerlukan bantuan.

“Pakaian yang dipakai dan penampilan mereka sepatutnya tidak menjadi isu. PDRM perlu melatih anggota dan pegawai mereka untuk bersedia menerima kehadiran rakyat dengan pakaian dan penampilan mereka,” kata Young Syefura dalam kenyataan pada Ahad.

Jelasnya, rakyat tidak datang ke balai polis jika tiada sesuatu yang mendesak.

“Prinsip ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ yang disebut oleh Ketua Polis Negara sepatutnya perlu dipraktikkan juga oleh anggota dan pegawai polis yang menerima laporan dengan professional, sentiasa tenang dan sedia berkhidmat untuk rakyat termasuklah menerima laporan daripada rakyat yang terdesak tidak kira apa jua penampilan mereka pada ketika itu.

Double standard dan sikap seksis tidak perlu ada pada anggota dan pegawai polis. Saya berharap agar perkara sebegini tidak berlaku lagi.

“Semua rakyat perlu diberikan akses untuk masuk ke balai polis untuk membuat laporan polis tanpa perlu dihakimi penampilan mereka. Tugas PDRM adalah untuk menjaga keamanan dan keselamatan, bukan menjadi polis moral kepada rakyat,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor