HomeBeritaMahkamah & JenayahProjek Jana Wibawa: Wan Saiful mengaku tidak bersalah

Projek Jana Wibawa: Wan Saiful mengaku tidak bersalah

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Dua pertuduhan ke atas Wan Saiful, 48, dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi, lapor Berita Harian.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek ‘Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur’ daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.

Wan Saiful turut dituduh menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd.

Dilaporkan, penerimaan itu sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

Wan Saiful didakwa melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, sekitar April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku antara 8 Julai 2022 hingga 30 September 2022.

Bagaimanapun, Hakim Azura Alwi membenarkan Wan Saiful dibebaskan dengan jaminan RM400,000 dengan seorang penjamin, pasport ditahan oleh mahkamah manakala tertuduh diarah melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dua bulan sekali.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala Wan Saiful diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Author

Pilihan Editor