HomeNiagaRombakan semula, Disney buang 7,000 pekerja

Rombakan semula, Disney buang 7,000 pekerja

SYARIKAT Walt Disney mengumumkan penstrukturan semula secara menyeluruh dengan memberhentikan 7,000 pekerja di bawah pengurusan Ketua Pegawai Eksekutif, Bob Iger.

Tindakan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif syarikat menjimatkan kos sebanyak AS$5.5 bilion bagi memberi ruang kepada keuntungan perniagaan penstrimannya.

“Kami akan mengurangkan tenaga kerja kami dengan kira-kira 7,000 pekerjaan.

“Walaupun langkah ini perlu diteruskan untuk menangani cabaran yang kita hadapi hari ini, saya tidak mengambil mudah untuk membuat keputusan ini.

“Saya amat menghormati dan menghargai bakat dan dedikasi pekerja Disney di seluruh dunia, dan saya mengambil berat tentang kesan peribadi atas perubahan ini,” kata Bob Iger semasa panggilan pendapatan suku pertama syarikat itu, lapor Yahoo Finance.

Pada Rabu, Iger mengakui bahawa Disney mungkin terlalu agresif untuk memperoleh pelanggan penstriman video apabila tontonan di televisyen semakin merosot.

Iger turut menyatakan bahawa gergasi media itu turut merancang menyusun semula organisasi kepada tiga segmen perniagaan iaitu unit hiburan yang merangkumi filem, televisyen dan penstriman; unit ESPN berfokuskan sukan; dan taman tema, pengalaman serta produk Disney.

“Penyusunan semula ini akan menghasilkan pendekatan yang lebih kos efektif, diselaraskan kepada operasi dan kami komited untuk berjalan dengan cekap dalam persekitaran yang mencabar,” kata Iger.

Tegasnya, penstriman kekal menjadi keutamaan Disney.

Untuk makluman, Disney adalah sebuah syarikat media terbaharu yang mengumumkan pemberhentian kerja sebagai tindak balas kepada pertumbuhan pelanggan yang perlahan dan peningkatan persaingan penonton penstriman.

Disney sebelum ini melaporkan penurunan suku pertama 2022 dalam langganan untuk unit media penstriman Disney+ yang kerugian lebih AS$1 bilion.

Author

Pilihan Editor