HomeBeritaSPRM siasat bekas PM, menantu isu salah guna kuasa kontrak kerajaan

SPRM siasat bekas PM, menantu isu salah guna kuasa kontrak kerajaan

CYBERJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat seorang bekas perdana menteri dan menantunya berhubung salah guna kuasa dalam kontrak kerajaan.

Berdasarkan sumber SPRM, siasatan berkenaan membabitkan pemberian kontrak bagi projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe), lapor Berita Harian.

“SPRM sedang melihat proses pemberian kontrak itu diberikan dan kaitan syarikat berkenaan dengan mereka yang berkuasa pada masa itu,” katanya.

Turut dilaporkan terdapat maklumat berhubung NIISe, sebuah projek yang sedang dibangunkan untuk menggantikan mekanisme pendaftaran pekerja asing sedia ada oleh Jabatan Imigresen menjelang 2025.

Bagaimanapun, maklumat berkenaan mendapati projek terbabit bermasalah.

Semakan ke laman web jabatan itu menunjukkan ‘Pasukan Projek Khas NIISe’ dipertanggungjawabkan kepada seorang pegawai tadbir dan diplomatik, Ruslan Atan.

“SPRM mungkin akan memanggil anggota kanan pentadbiran terdahulu sebagai sebahagian daripada siasatannya,” kata sumber berkenaan.

Isnin lalu, New Straits Times melaporkan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, NIISe akan diperkenalkan dalam masa dua tahun dengan semua urusan berkaitan imigresen, termasuk yang kini diuruskan pihak luar seperti MyEG, kembali kepada jabatan itu.

Menurutnya, sistem baharu itu kini sedang dibangunkan oleh Iris Corporation Bhd.

Terdahulu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyatakan bahawa menantu bekas perdana menteri itu mungkin saudara yang tidak dinamakan seperti disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau berbicara mengenai kroni dan saudara yang dianugerahkan kontrak lumayan.

Menantu pemimpin itu juga dinamakan dalam laporan media sebelum ini sebagai antara seorang pemain utama dalam kontrak NIISe.

Beliau turut disebut secara meluas dalam Program Pengampunan 6P jabatan itu beberapa tahun lalu untuk mendaftarkan warga asing tanpa izin.

 

Author

Pilihan Editor