HomeBeritaTertekan pedal minyak, pelajar sekolah memandu rempuh bilik mengajar

Tertekan pedal minyak, pelajar sekolah memandu rempuh bilik mengajar

CYBERJAYA: Dek kerana tidak sihat, seorang pelajar sekolah memandu tersalah menekan pedal minyak kereta sehinggga merempuh sebuah bilik mengajar di premis yang terletak di Pajam, Mantin, Negeri Sembilan.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Mantin, Pegawai Bomba Kanan II, Effendi Rahmat berkata, kejadian dilaporkan berlaku di Akademi Memandu Nilai awal pagi tadi dan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 10.33 pagi.

“Setibanya di lokasi kami mendapati sebuah kereta sekolah memandu jenis Perodua Axia telah melanggar sebuah bilik mengajar di situ.

“Bagaimanapun, pelajar sekolah memandu yang merupakan lelaki berusia 26 tahun dan pengajar yang juga seorang lelaki berusia 65 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Namun terdapat dua orang lelaki yang berusia 22 dan 27 tahun yang berada di dalam bilik tersebut cedera di bahagian kaki dan belakang badan akibat kemalangan itu,” katanya seperti dilapor Utusan hari ini.

Tambah beliau, pihak bomba telah menyerahkan kedua-dua mangsa yang cedera kepada pihak Kementerian Kesihatan yang kemudian telah membawa mereka ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Author

Pilihan Editor