HomeBeritaWujudkan unit lindungi hak kanak-kanak secara undang-undang - Daphne Iking

Wujudkan unit lindungi hak kanak-kanak secara undang-undang – Daphne Iking

SHAH ALAM: Selain bergelar selebriti dan personaliti TV, Daphne Iking yang juga aktivis kanak-kanak lantang memperjuangkan nasib golongan itu dan ibu tunggal.

Komitmen pelakon dan pengacara cantik itu terhadap kesejahteraan dan kebajikan mereka yang kurang bernasib baik membuatkannya dirinya lebih popular berbanding ahli politik.

Terbaharu, Daphne menggesa kerajaan mewujudkan unit khas kanak-kanak yang bertanggungjawab dalam hal ehwal perundangan khusus untuk melindungi hak kanak-kanak.

Saranan itu ditujukan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), selepas melihat keperluan untuk menangani isu penderaan yang serius di pusat pemulihan.

“Membaca isu penderaan, kurungan secara salah terhadap kanak-kanak sehingga menjejaskan kesihatan mental mereka amat membimbangkan.

“Isu seperti ini perlu diatasi dengan mewujudkan satu unit khas yang boleh melindungi kanak-kanak bawah usia 18 tahun dari aspek perundangan.

“Menerusi unit ini, pakar perundangan boleh membantu golongan yang tertindas serta jika hak mereka dicabuli untuk mendapat keadilan sewajarnya.

“Daripada sini mereka tahu bagaimana untuk membuat laporan polis, apa tindakan selepas itu dan bagaimana untuk bangkit semula.

“Kita bercakap mengenai kesan mental, emosi dan fizikal mereka hadapi setelah menghadapi trauma yang dahsyat dan memastikan perkara sama tidak berulang pada yang lain, ” katanya kepada MEDIA VARIASI

Tambahnya, beliau ada membaca masalah kesihatan mental kanak-kanak, bersama seorang pakar undang-undang kanak-kanak, Dr Farah Nini Dusuki.

“Selama ini kita hanya fikir banyak berpunca daripada kes dera, gangguan seksual, tekanan rakan sebaya.

“Sebenarnya, banyak yang kita belum tahu, sebab kita faham negara tak cukup kepakaran untuk kendalikan kes seperti ini (isu kanak-kanak),” katanya.

Daphne berkata demikian mengulas mengenai kes penderaan di pusat pemulihan yang didedahkan MEDIA VARIASI.

Daphne turut menambah, masyarakat khususnya ibu bapa juga perlu terbuka untuk menggalakkan anak muda supaya untuk berjumpa pakar kaunseling atau pakar psikologi, malah lebih baik jika menjadikannya sebagai norma.

“It is okay to not be okay, kita perlu normalisasikan kaedah (jumpa pakar) ini, wujudkan unit khas (KWPKM) untuk menyampaikan maklumat kepentingan akta kanak-kanak dan hentikan stigma negatif terhadap pertemuan dengan pakar kesihatan mental,” katanya.

Terdahulu, Daphne ditemui pada Majlis Pelancaran Produk Baharu Wellsen X Dynas yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif WeGlobe Marketing Sdn Bhd, Seng Sin Mon dan pelakon, Dynas Mokhtar di Wanra Cafe, Bukit Jelutong, di sini.

MEDIA VARIASI sebelum ini melaporkan, secara eksklusif, Daphne menggesa lebih banyak penempatan bilik mahkamah mesra kanak-kanak perlu dibuka bagi melindungi golongan berkenaan ketika terbabit kes di mahkamah.

Untuk rekod, Mahkamah Khas Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak pernah dilancarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman Putrajaya, pada Jun 2017.

Mahkamah khas ini dilancarkan bagi mewujudkan persekitaran yang lebih mesra kepada mangsa kanak-kanak dan menangani kes penderaan kanak-kanak dengan lebih berkesan.

 

Author

Pilihan Editor