KUALA LUMPUR: Seramai 41 mangsa pelaburan mata wang kripto milik Datuk Seri Vida iaitu Lavida Coin, VI Profit Galaxy (DSV Cryptoclub and LUX Galaxies) hari ini mengemukakan tuntutan kerugian RM59 juta daripada usahawan kosmetik itu.
Dokumen tuntutan itu dikemukakan bersama writ saman yang didaftarkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Datuk Seri Vida (DSV) dan tiga rakannya yang menjalankan Lavida Coin sejak tahun 2018.
Mangsa- mangsa terbabit membuat tuntutan rentetan mereka masih tidak menerima sebarang pulangan wang pelaburan serta keuntungan seperti yang dijanjikan sebelum ini.
Malah, kesemua mangsa itu mengambil masa yang lama untuk bertindak kerana berharap segala taburan janji DSV dilunaskan namun, sehingga ke saat ini tiada sebarang pembayaran dilakukan.
Salah seorang mangsa turut berkongsi kisah terjebak dengan isu terbabit.
Katanya, atas faktor mempercayai jenama DSV membuatkan dia sanggup melaburkan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hampir RM9,000.
“Saya ada bukti dokumen perjanjian bersama yang ditandatangan hadapan DSV di Ipoh.
“Saya percaya dengan nama DSV tetapi apabila melabur saya harapkan pulangan seperti dijanjikan, tapi sudah lima tahun tiada apa-apa yang ditunaikan.
“Dia ada kedai emas dahulu tetapi semua staf mengelak untuk jawab dan kata tak tahu di mana DSV,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media tuntutan RM59 juta terhadap DSV oleh mangsa pelaburan Lavida Coin.
Turut hadir bersama, peguam mewakili mereka, Mohammad Izwan Azmi dari Tetuan Izwan Mazniza Kamil & Associates.
Dalam pada itu, seorang lagi mangsa berkata, dia melabur menerusi pembantu peribadi (PA) kepada DSV sebanyak RM61,380.
“Sekarang suami saya OKU, saya tak dapat kerja dan perlukan duit saya balik,” katanya.
Terdahulu, Mohammad Izwan memaklumkan writ saman telah diserahkan di syarikat DSV pada 15 Disember 2012 dan diiklankan di Berita Harian pada 10 Februari namun tiada maklum balas DSV.
“Pada tahun Ogos 2018, mangsa membuat pindahan wang ke syarikat-syarikat milik DSV.
“Menurut representasi oleh pihak defendan iaitu DSV dan lain-lain, mengatakan pada 2018 bahawa Lavida Coin adalah sah dari segi undang-undang, ada kelulusan dari Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara, SSM lain-lain agensi.
“Namun menariknya, pada 29 Ogos 2019 SC mengumumkan Lavida Coin dimasukkan ke senarai amaran pelanggan agar tidak membuat pelaburan.
“Sehubungan itu, jika DSV gagal membuat bayaran kemungkinan tindakan akan diteruskan di mana beliau berhadapan dengan bankrap, rumah dan harta disita,” katanya.