HomeBeritaBerbaloi kerja di Singapura, gaji dua kali ganda

Berbaloi kerja di Singapura, gaji dua kali ganda

CYBERJAYA: Tawaran gaji berlipat kali ganda nyata menjadi tarikan sebilangan rakyat Malaysia memilih untuk bekerja di Singapura.

Seorang rakyat Malaysia yang juga jurutera dikenali sebagai Hisham, 32, berkata, dia memperoleh pendapatan dua kali ganda daripada gaji yang diterima ketika bekerja di Kota Singa itu.

Katanya, peluang bekerja di sebuah syarikat yang berpangkalan di Jurong, Singapura itu dapat meluaskan kemahirannya dalam bidang kejuruteraan elektronik dan ke­elektromagnetan.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu, saya dan rakan-rakan merupakan antara pekerja diberhentikan ketika bekerja di kilang elektronik di Senai. Ketika itu kehidupan sangat sukar kerana perlu menyara tiga anak.

“Saya buat kerja macam-macam antaranya bekerja sebagai penghantar barang dan sebagainya untuk sara keluarga, isteri pula berniaga kek dan lain-lain secara online. Selepas endemik cuba minta kerja juga susah nak dapat, akhirnya saya memilih untuk cari kerja di Singapura,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Tambah Hisham, dia ber­syukur apabila dikurniakan rezeki dengan menerima tawaran gaji RM9,000.

Kongsinya lagi, ketika bekerja di Malaysia sebelum ini dia hanya menjana pendapat sebanyak RM4,000 sebulan.

Sementara itu, seorang pembantu perubatan, Mohamad Fazli, 29, berkata, dia memilih untuk berhijrah ke Singapura adalah untuk melebarkan pe­ngalaman dan kemahiran yang sedia ada.

Katanya yang bekerja di sebuah hospital swasta di ibu kota sebelum ini, dia kini bekerja di sebuah hospital swasta di Jalan Mount Elizabeth, Orchard, ­Singapura.

“Bukan nak kata apa, cuma persekitaran kerja di negara jiran lebih baik berbanding dengan tempat kerja lama, dekat sana (Singapura) kita diberi pendedahan lebih banyak, rakan sekerja saling supportive, banyak benda baharu saya belajar,” ujarnya.

Mohamad turut mengakui bahawa meskipun terpaksa menghadap perjalanan untuk memasuki dan keluar dari negara itu hampir empat jam sehari, namun ia berbaloi apabila pendapatan yang diperoleh lumayan.

“Setiap hari saya guna kende­raan awam untuk pergi dan balik, pergi kerja dua jam dan balik juga dua jam, penat tu memang penat, tetapi berbaloi apabila tengok akaun bank setiap bulan, dua kali ganda gaji sebelum ini,” katanya.

Author

Pilihan Editor