HomeBeritaDah tiada 'title' menteri, KJ masih turun padang

Dah tiada ‘title’ menteri, KJ masih turun padang

CYBERJAYA: Meskipun dirinya tidak lagi mempunyai jawatan dalam mana-mana parti politik, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin masih meluangkan waktu untuk turun padang membantu mangsa banjir di Johor.

Khairy yang mesra dengan panggilan KJ baru-baru ini berkongsi di Instagram Stories mengenai lawatan beliau ke beberapa kawasan terjejas banjir di Johor.

Ahli Lembaga Pengarah JDT dan Penasihat Belia Johor itu dilihat turun padang di sekitar Yong Peng dan Batu Pahat bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Hairi Mad Shah; dan ADUN Yong Peng, Ling Tian Soon yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor.

Beliau yang mengenakan jaket sukarelawan Southern Volunteers turut dilihat menyampaikan sumbangan daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan beramah mesra bersama mangsa-mangsa yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS).

“Saya bawa ini (menghulurkan kotak) sumbangan daripada TMJ,” katanya kepada salah seorang mangsa banjir di PPS Dewan Orang Ramai Sri Medan.

Untuk rekod, bencana banjir yang melanda Johor sejak Rabu lalu disifatkan amat kritikal yang pernah berlaku di negeri terbabit.

Bagaimanapun, setakat jam 8 pagi ini, data Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri (JBPN) menunjukkan bahawa, jumlah mangsa yang terkesan akibat banjir menurun kepada 39,620 orang.

Author

Pilihan Editor